Home / Lain - Lain / Malaysia bakal hilang satu lagi emas Sukan SEA 2019

Malaysia bakal hilang satu lagi emas Sukan SEA 2019

Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Filipina bakal kehilangan satu lagi pingat emas selepas tuan rumah menggugurkan acara renang terbuka kategori lelaki yang dimenangi perenang negara pada temasya edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Penganjur, bagaimanapun menggantikan kategori lelaki dengan acara renang terbuka wanita yang menyaksikan keputusan itu mendapat protes daripada beberapa negara peserta.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pengguguran dan penambahan acara itu akan dimaklumkan kepada persatuan sukan kebangsaan (NSA) kerana ia membabitkan persiapan atlet.

“Kami baru menerima surat dan akan mengadakan perbincangan dengan NSA, selepas itu kita akan memberikan maklum balas. Untuk sukan akuatik, kita dapat tahu ada negara akan menghantar protes, namun kita akan berbincang dengan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengenai perkara tersebut.

“Ini kerana ia melibatkan perubahan pada saat akhir yang turut membabitkan persediaan atlet sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM, di sini hari ini.

Mohamad Norza berkata selain akuatik, tiga sukan lain turut mengalami penggantian melibatkan e-sukan, polo dan kayak.

Beliau berkata berdasarkan surat daripada Jawatankuasa Olimpik Filipina (POC), dalam e-sukan acara Hearthstone akan menggantikan NBA 2k19, diikuti acara polo Divisyen B4-7 gol menggantikan B4-6 gol.

Turut terlibat acara kayak 1,000 meter perseorangan lelaki yang digantikan dengan kanu 1,000 meter perseorangan lelaki.

Untuk rekod, dua perenang negara, Kevin Yeap Soon Choy dan Heidi Gan menyumbang pingat emas kelima dan keenam untuk Malaysia masing-masing dalam acara renang terbuka 10 kilometer (km) kategori lelaki serta wanita pada Sukan SEA 2017.

Sebelum ini, Malaysia sah kehilangan 70 pingat emas, iaitu separuh daripada pungutan emas ketika muncul juara Sukan SEA 2017, gara-gara beberapa sukan yang menjadi lubuk emas negara tidak dipertandingkan dalam temasya dwitahunan itu di Filipina.

Sukan SEA 2019 akan bermula 30 Nov hingga 11 Dis.