Home / Bola Sepak / MALAYSIA AIRLINES LANJUT KERJASAMA SEBAGAI RAKAN PENERBANGAN RASMI FAM

MALAYSIA AIRLINES LANJUT KERJASAMA SEBAGAI RAKAN PENERBANGAN RASMI FAM

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan terus terbang tinggi bersama rakan penerbangan rasminya, Malaysia Airlines Berhad bagi tempoh tiga tahun lagi.

Ia selepas syarikat penerbangan kebangsaan itu menandatangani perjanjian lanjutan usahasama bagi tempoh 2021 hingga 2023 berikutan perjanjian selama dua tahun sebelum ini bakal berakhir pada 31 Disember 2020.

Majlis perjanjian usahasama tersebut berlangsung di Hilton Petaling Jaya, hari ini di antara Setiausaha Agung FAM, Encik Stuart Ramalingam dan Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan, Malaysia Airlines Berhad, Puan Lau Yin May.

Ia disaksikan bersama oleh Presiden FAM, Yang Berbahagia Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad, Kapten Izham Ismail.

Menurut Datuk Haji Hamidin, lanjutan perjanjian daripada Malaysia Airlines itu menjadi isyarat bahawa kerjasama yang terjalin di antara kedua-dua pihak sejak tahun 2019 adalah cukup baik biarpun pelbagai program dan aktiviti yang dirancang untuk tahun 2020 ini terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Malaysia Airlines yang mana mereka tetap mahukan kerjasama yang terjalin selama dua tahun sebelum ini diteruskan lagi bagi tempoh tiga tahun yang akan datang.

Bagi saya, kerjasama di antara FAM dan Malaysia Airlines ini cukup simbolik kerana kedua-duanya merupakan jenama kebangsaan yang begitu sinonim dengan negara kita, Malaysia,” kata Datuk Haji Hamidin.

Kapten Izham Ismail pula berkata, “Kami teruja untuk memulakan babak seterusnya dalam kerjasama antara skuad bola sepak negara dengan syarikat penerbangan kebangsaan. Kerjasama yang baik dalam berpasukan adalah kunci pada kejayaan setiap usahasama.

“Disiplin dan komitmen pasukan Harimau Malaya mencerminkan keazaman kami dan seluruh rakyat Malaysia untuk turut berjuang mengharumkan nama negara melalui apa saja bidang yang diceburi tidak kira bangsa, usia dan jantina. 

“Sejajar dengan Hari Kebangsaan yang akan tiba, ini adalah masa terbaik untuk Malaysia Airlines dan FAM bergabung usaha dan terbang bersama membawa bendera Malaysia ke seluruh dunia.”

Tambah Datuk Haji Hamidin: “Peranan kita kepada Malaysia adalah sama. Identiti pasukan kebangsaan adalah identiti perpaduan rakyat Malaysia. Sama seperti Malaysia Airlines, kami di FAM juga mengibarkan bendera Malaysia di mata dunia menerusi bola sepak.”

Jalinan awal kerjasama bermula apabila Malaysia Airlines menaja penerbangan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe bagi menghadapi Final 2 Piala Suzuki AFF 2018 di Hanoi, Vietnam pada 15 Disember 2018.

Ia disusuli majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Datuk Haji Hamidin dan Kapten Izham di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 21 Mac 2019 untuk Malaysia Airlines menjadi rakan penerbangan rasmi FAM bagi tempoh dua tahun.