Home / Lain - Lain / MAJLIS KESELAMATAN NEGARA LULUSKAN KELONGGARAN KHAS BAGI PROGRAM ROAD TO TOKYO 2020

MAJLIS KESELAMATAN NEGARA LULUSKAN KELONGGARAN KHAS BAGI PROGRAM ROAD TO TOKYO 2020

Kerajaan bersetuju memberi kelonggaran khas kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menjalankan sesi latihan serta persiapan bagi program Road To Tokyo 2020.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat khas menteri-menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.

Sesi latihan bagi program yang melibatkan seramai 265 individu termasuk 57 atlet itu bagai mana pun akan dijalankan di tiga kem berpusat yang ditetapkan iaitu Kompleks Sukan Bukit Jalil (181 individu), Akademik Badminton Malaysia Bukit Kiara (56 individu) dan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan Langkawi (28 individu).

Sesi latihan di ketiga-tiga kem latihan berpusat itu akan bermula pada 1 Jun hingga 30 Jun bagi fasa pertama yang mana saringan Covid-19 akan dilakukan sewaktu pendaftaran.

Kelonggaran itu akan dipertimbangkan kerana mereka akan mewakili negara ke Sukan Olimpik dan Paralimpik di Tokyo yang dijangka berlangsung Julai tahun depan.

Kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan untuk menjalani latihan persediaan bagi program Road To Tokyo 2020 pastinya disambut dengan nada gembira oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memaklumkan bagi mematuhi segala SOP dipatuhi KBS akan menubuhkan satu jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Pemantauan yang dipengerusi sendiri oleh beliau.

Kelonggaran khas ini akan membolehkan atlet-atlet kebangsaan dibawah program RTT 2020 menjalani sesi latihan di kem latihan berpusat menggunakan pendekatan kuarantin yang akan bermula pada 1 Jun nanti sebagai fasa pertama dan secara berfasa sehingga berakhir tempuh PKPB atau arahan-arahan pihak berkuasa mengenai aktiviti sukan dilonggarkan.

Sebelum ini Datuk Seri Reezal membentangkan permohonan cadangan kelonggaran khas PKPB bagi program RTT 2020 dalam mesyuarat khas menteri-menteri mengenai perlaksaan PKP bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mendapat persetujuan ahli-ahli mesyuarat.