Home / Bola Sepak / Luqman Hakim lebarkan sayap ke eropah

Luqman Hakim lebarkan sayap ke eropah

Penyerang skuad B18 tahun negara Luqman Hakim Shamsudin mencipta sejarah selepas menjadi pemain pertama Malaysia yang ditawarkan kontrak beraksi bersama kelab liga profesional Belgium KV Kortrijk selama lima tahun bermula musim hadapan.

Luqman yang bakal menyambut hari kelahirannya yang ke-18 pada Mac 2020 terlebih dahulu akan menjalani latihan bersama Cardiff City FC awal Januari depan sebelum menyertai KV Kortrijk selama lima tahun selepas usianya mencecah 18 tahun.

Ini bermakna Luqman bakal menjadi pemain pertama negara dan keempat di Asia yang beraksi dalam liga Belgium.

Sementara itu Tan Sri Vincent Tan berbangga untuk menawarkan kontrak itu kepada Luqman Hakim yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam beberapa kejohanan.

Beliau yang juga pemilik Cardiff City FC yakin Luqman Hakim mampu cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru di Belgium termasuk dari segi makanan, kebudayaan dan bahasa.

“Saya berharap dan berdoa agar Luqman berjaya disana. Saya sungguh berbangga kerana dapat membantu dia untuk beraksi di eropah. Dari segi rekodnya, Luqman sangat pantas dan ada teknik yang baik”, ujar Tan Sri Vincent Tan.

Dalam masa yang sama, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan meneruskan program penghantaran bakat muda ke Jepun untuk latihan percubaan.

Setiausaha Agong FAM Stuart Ramalingam berkata program kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) itu tidak memberi fokus kepada mencungkil bakat segelintir bakat muda sahaja tetapi turut membabitkan penglibatan kelompok besar pemain dari Akademik Mokhtar Dahari (AMD).

Sebelum ini empat pemain AMD termasuk Luqman Hakim menjalani latihan percubaan di Jepun pada awal bulan ini dimana Luqman mendapat perhatian kelab Cerezo Osaka.