Home / Lain - Lain / LTdL 2020 berjaya meletak Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan dunia

LTdL 2020 berjaya meletak Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan dunia

Penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) sejak edisi pertama pada 1996 telah berjaya meletak Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan dunia selain memberi manfaat lokasi yang dilalui pelumbaan.

Menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed sejak 24 tahun penganjurannya ia telah menarik banyak pasukan dan pelumba terbaik dunia untuk datang ke Malaysia.

“Sejak penganjurannya 24 tahun yang lalu, sebanyak 232 peringkat LTdL telah dianjurkan di seluruh Malaysia. Hasilnya bukan sahaja Malaysia dan Langkawi diletakkan dalam peta dunia sebagai destinasi yang wajid dikunjungi, malah daerah-daerah lain di Malaysia yang dilalui penunggang basikal turut mendapat faedah darinya. Dunia kini melihat kawasan pedalaman Malaysia seperti bandar-bandar dan kota yang terkenal”, demikian petikan dari ucaptama Tun Mahathir.

Tun Mahathir berucap pada sambutan jubli perak LTdL 2020 di menara berkembar Petronas di ibu negara.

Beliau yang juga pencetus dan pengasas LTdL turut menyatakan penghargaan dan kejayaan berkembang ke peringkat antarabangsa sehingga menjadi perlumbaan berprestij dunia.

Selain menggesa penganjur untuk meneroka minat yang besar dalam LTdL dengan mengambil inisiatif yang berkaitan untuk membangunkan sukan berbasikal sebagai pilihan remaja.

LTdL 2020 akan memperkenalkan dua perlumbaan tambahan sebagai sebahagian daripada sambutan jubli perak dan usaha pembangunannya iaitu Kriterium Intenational dan Malaysia Classic selain mengumumkan penyertaan semula Sabah dan Sarawak dalam jelajah berbasikal itu.

Saingan edisi ke-25 itu dijadualkan bermula 7-14 Februari tahun depan membabitkan 8 peringkat perlumbaan meliputi jarak keseluruhan sejauh 1095.7km