Home / Bola Sepak / Longlai bertemu Papua New Guinea, Mampukah Malaysia Berjaya di AFF ?

Longlai bertemu Papua New Guinea, Mampukah Malaysia Berjaya di AFF ?

malaysia_2-1_papau_new_guinea_-_fam2

Skuad Harimau Malaysia menentang Papua New Guinea.

KUALA LUMPUR, 15 November 2016: Aksi perlawanan persahabatan di antara Skuad Harimau Malaysia menentang Papua New Guinea di Stadium Shah Alam petang semalam menyaksikan Harimau Malaysia masih belum mampu mengaum apabila sekadar meraih kemenangan 2-1 dalam perlawanan yang boleh dianggap membosankan.

90minit aksi yang dipamirkan oleh skuad Harimau Malaysia ternyata menghampakan hampir 3000 penonton yang hadir untuk menyaksikan perlawanan yang menjadi medan terakhir untuk jurulatih Datuk Ong Kim Swee menguji barisan pemain-pemainnya sebelum menghadapi saingan Piala AFF Suzuki di Yangon, Myanmar minggu depan. Dengan barisan serangan yang tumpul untuk mencari jaringan, barisan pertahanan juga dilihat longlai dalam menghadapi asakan pasukan Papua New Guinea sambil barisan tengah kekurangan idea untuk menjana enjin skuad Harimau Malaysia.

Jelas masih banyak yang perlu diperbaiki di setiap bahagian dan perkara sama turut disuarakan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee pada sidang media selepas perlawanan.

“Benteng pertahanan perlu bertindak lebih kebal, mereka tampak mudah hilang konsentrasi selain bergelut untuk menyerap tekanan ketika pasukan lawan melakukan serangan. Jentera tengah pula nampak kurang berjaya menguasai bahagian tengah dan perlu lebih kreatif kepada penyerang. Jentera serangan juga masih perlu diperbaiki terutama untuk bertindak lebih tajam dalam melakukan penyudah di depan pintu gol’ ujar Ong Kim Swee

Dalam tiga aksi persahabatan terakhir termasuk berdepan Singapura, Afghanistan dan Papua New Guinea, hanya satu gol disumbangkan jentera serangan. Justeru, Safee Sali, Darren Lok, Norshahrul Idlan Talaha dan Ahmad Hazwan Bakri wajib bertindak lebih tajam selain mendapatkan segera persefahaman pada tahap terbaik.

Skuad Harimau Malaysia hanya memiliki masa lima hari sahaja lagi sebelum mengharungi perlawanan pertama Piala AFF Suzuki berdepan Kemboja pada 20 November ini. Segala perancangan perlu diperkemaskan bermula dari sekarang kerana seluruh rakyat Malaysia sudah pasti tidak rela melihat pasukan kebanggaan tersungkur awal di bumi Myanmar.

Mampukah Malaysia ????