Home / Bola Sepak / #LIGASUPER2017 – PKNS mengajar Selangor di Shah Alam

#LIGASUPER2017 – PKNS mengajar Selangor di Shah Alam

WhatsApp Image 2017-02-04 at 19.36.40

Pemain PKNS meraikan gol jaringan pasukan mereka dalam pertemuan menentang Selangor di Stadium Shah Alam. Gambar OJ / SukanMalaysiaDotMy

SHAH ALAM 4 Februari 2017 : Stadium Shah Alam menyaksikan pertembungan seteru setempat antara PKNS dan SELANGOR. PKNS yang turun dengan dua kekalahan sebelum ini pasti mahu mengelak dari kekal di tangga bawah liga. Selangor yang kembali ke stadium keramatnya setelah berpindah ke Stadium Selayang juga pasti tidak mahu momentum baik dalam dua perlawanan pertama dicacatkan oleh PKNS.

WhatsApp Image 2017-02-04 at 19.33.10

Pemain Selangor, Francis Forkey Doe cuba melepasi pemain pertahanan PKNS dalam perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Shah Alam. Gambar oleh OJ/SukanMalaysiaDotMy

Perlawanan yang diadakan pada sebelah petang ini bermula rancak dengan seawal minit pertama Selangor telah di depan hasil jaringan pemain muda Muhammad Syahmi Syafari. PKNS tidak goyang dengan jaringan itu malah melancarkan serangan balas dan hasilnya Patrick Ronaldinho berjaya menyamakan kedudukan hasil kuisan dalam kotak penalti menewaskan Norazlan Razali. Selang 5 minit seorang lagi bekas pemain Selangor, Safee Sali meletakkan PKNS didepan tetapi Forkey Doe berjaya menyamakan kedudukan 3 minit selepas itu.

WhatsApp Image 2017-02-04 at 19.33.12

Pemain PKNS Patrick Ronaldinho di asak dua pemain Selangor dalam perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Shah Alam. Gambar OJ / SukanMalaysiaDotMY

Perlawanan bertambah rancak dan tatkala perlawanan menghampiri penghujung babak pertama, gawang Selangor dirobek buat kali ketiga, sekali lagi dari Patrick Ronaldinho yang menimbulkan keresahan penyokong Selangor. Separuh masa PKNS 3 Selangor 2.

Masuk babak kedua PKNS makin menyerlah dengan permainan yang tersusun dan mereka tidak menunggu lama apabila dua minit bermula, Matias Nicolas menjadikan kedudukan 4-2. Selangor yang tertekan memasukkan pemain import keempat mereka yang baru didaftarkan iaitu Juliano Mineiro untuk memantapkan barisan tengah mereka. Percaturan P. Maniam dilihat berkesan dengan tidak sampai seminit Juliano dimasukkan hantaran beliau yang tepat ke Forkey Doe merapatkan jurang kepada 3-4.

Tetapi ianya tidak bertahan lama apabila PKNS kembali menjarakkan kedudukan hasil tandukan dari Patrick yang menjadikan beliau pemain pertama meledak hatrik di Liga Super. Permainan dihentikan pada minit ke 70 apabila Raimi yang ingin digantikan Adam telah diberikan kad kuning kedua dan menyebabkan Adam terpaksa keluar semula. Keputusan perlawanan kekal PKNS 5 Selangor 3.

OLEH : HISYAM RAHMAN