Home / Bola Sepak / #LIGASUPER2016 – Dilemma Pemain Import dan Tempatan

#LIGASUPER2016 – Dilemma Pemain Import dan Tempatan

AK1_9403

Hariss Harun antara tonggak import yang menyerlah dalam Liga Super.

Perjalanan Liga Malaysia bagi tahun 2016 telah pun memasuki pusingan kedua. Seperti dijangka, Johor Darul Takzim (JDT) dilihat antara pasukan pilihan dan sukar untuk dicabar. Felda pula adalah pencabar tunggal JDT ketika ini ketika Selangor dan Kedah mempunyai mata yang agak jauh untuk mengejar kedua-dua pasukan itu.

Analisa yang agak mudah untuk dibuat, pasukan yang mempunyai dana yang besar adalah peneraju kedudukan lima teratas liga. Jika kita melakukan analisa dengan lebih terperinci, hanya Felda dan JDT yang begitu konsisten dan mereka jugalah pasukan yang mempunyai dana yang kukuh untuk meletakkan mereka di kedudukan puncak liga sekarang ini.

Apakah kaitan mempunyai dana yang banyak ini dengan prestasi dan konsistensi pasukan?

  1. Gaji lumayan yang memotivasikan persembahan mereka?
  2. Fasiliti pasukan yang bertaraf antarabangsa?
  3. Jurulatih import yang bagus?
  4. Atau Pemain import yang bagus?

Keempat-empat soalan itu ada jawapannya pada pasukan JDT. Mereka ada segalanya, dan tidak hairanlah pencapaian mereka sekarang ini membuktikan segalanya.

Segalanya adalah baik untuk perkembangan bolasepak kita, dengan gaji yang tinggi pasti menaikkan pendapatan pemain, Fasiliti sukan yang bertaraf antarabangsa dapat membantu meningkatkan kemahiran pemain ketika berlatih, Jurulatih import yang bagus juga dapat memberi tunjuk ajar yang lebih baik dari tahap kecergasan, mentaliti, kemahiran bermain, strategi permainan dan banyak lagi dalam hal bolasepak moden. Dan itu semua patut diterjemahkan dengan pemain kita dapat bersaing lebih baik dengan pemain Import, tetapi malangnya itu tidak berlaku.

Mari kita lihat statistik antara pemain import dan pemain tempatan :

Untitled-1

Untitled-2

Segala-galanya kita di belakang, pemain tempatan tidak dapat bersaing dengan pemain import ini. Apakah puncanya? Untuk mendapatkan jawapannya Sukan Malaysia telah mendapatkan pandangan 4 individu dari latar belakang yang berbeza. Pemain dari era 80an dan 90an dan juga seorang penyokong tegar.

Razak Mohamad 55, pemain tengah dari era semi Pro yang pernah bermain untuk Pahang, Johor dan Melaka berpendapat pemain import memang menguasai carta penjaring dan menjadi tonggak sesuatu pasukan di Malaysia kerana mereka akan sentiasa mendapat tempat di dalam kesebelasan utama dengan alasan mereka dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan. Hakikatnya taraf permainan pemain import ini adakalanya sama atau jauh lebih buruk dari kualiti pemain tempatan. Namun mungkin disebabkan saiz fizikal mereka berbeza menjadikan mereka pilihan utama. Pemain tempatan pula dilihat mempunyai kemahiran yang menyamai tahap pemain import cuma kebiasaan nya dinafikan peluang bermain oleh jurulatih sesebuah pasukan.

Asmawi Bakiri. © STR/Faiz Anuar

Asmawi Bakiri. © STR/Faiz Anuar

Asmawi Bakiri pula seorang penganalisa bolasepak yang tidak asing lagi di Astro Arena juga mengatakan pemain import memang sepatutnya menguasai carta dalam liga bolasepak kita kerana mereka sepatutnya berada pada taraf yang lebih tinggi dari pemain tempatan. Banyak pasukan meletakkan pemain penyerang dikalangan pemain import semata-mata untuk pasukan mereka mencipta kemenangan. Pengurusan melakukan ini untuk mengelakkan pasukan mereka tidak ketinggalan dalam liga. Senario ini memanglah kurang baik bagi pasukan negara, namun jika sesebuah pasukan itu meletakkan pemain import di bahagian tengah, ianya sebenarnya dapat mengimbangi barisan pemain pemain tengah yang ada dalam sesuatu pasukan.

Nazab Hidzan

Nazab Hidzan

Nazzab Hidzan rakan sejawatan Asmawi Bakiri ketika bersama pasukan Selangor juga berpendapat pemain import yang diambil memang seharusnya perlu mempunyai kualiti dan standard yang tinggi, namun ia sepatutnya menjadi saingan untuk pemain tempatan mencuri tempat dalam kesebelasan utama dan berusaha mempelajari kemahiran dan sikap pemain import ini.   Nazzab memberikan contoh seperti Diaz, Lucero, Zah Rahan yang memiliki skill permainan yang baik. Pemain tempatan perlu merebut peluang untuk belajar dari pemain-pemain seperti ini dan seterusnya bersaing untuk memberi impak pada pasukan negara.   Tetapi bukan semua pasukan dapat mengambil pemain import yang baik kerana ini semua bergantung pada dana yang ada pada sesebuah pasukan.

Sukan Malaysia juga menemuramah seorang peminat tegar bolasepak negara, dikenali sebagai Abang J, beliau berkata pemain tempatan memang tenggelam dalam setiap pasukan. Namun begitu bukan semua pemain import yang ada dalam pasukan adalah berkualiti, namun tetap pemain tempatan gagal menyaingi mereka dalam merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Kesimpulannya, pemain tempatan perlu bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan dan menonjokan permainan berkualiti setiap kali diberi peluang bermain. Telah menjadi satu tanggungjawab mereka sebagai pemain untuk meningkat permainan mereka dan tidak menjadikan alasan pemain import sebagai menutup peluang mereka beraksi.

Jurulatih pula perlu juga membuka ruang dan peluang kepada setiap pemain tempatan dalam menonjolkan permainanan mereka. Mungkin dengan jadual padat yang sering dijadikan alasan oleh jurulatih maka ini adalah peluang terbaik bagi jurulatih memberi peluang kepada pemain yang sering memanaskan bangku simpanan untuk beraksi.

Untuk pengurusan pasukan pula, jangan jadikan dana pasukan sebagai alasan untuk tidak mendapatkan pemain import yang berkualiti. Jika pencari bakat setiap pasukan bijak melakukan perbincangan dan urusniaga,  tidak mustahil mereka mendapatkan pemain yang berkualiti dengan harga yang berpatutan dan memberi manfaat kepada pemain tempatan. Mana tahu jika pasukan berani mengambil pemain muda dari luar negara dan mereka beraksi baik di liga kita, tidak mustahil mereka akan dipancing oleh pasukan dari liga yang lebih kompetetif dan boleh meningkatkan dana pasukan apabila mereka membeli pemain yang masih dalam kontrak. Seperti yang berlaku dalam liga-liga professional di seluruh dunia.

Liga Malaysia adalah pentas untuk kita melahirkan pemain yang baik dan mampu memberikan kejayaan untuk pasukan negara, bukan hanya berbangga untuk meraih kejayaan di dalam negara sahaja. Janganlah terlalu banyak mencari alasan kerana Di mana ada Kemahuan Di Situ Ada Jalan!

Oleh : Hisyam Rahman