Home / Bola Sepak / #LIGASUPER – Selamat Tinggal Zainal, Rosman dan Siva !

#LIGASUPER – Selamat Tinggal Zainal, Rosman dan Siva !

Untitled-1

KUALA LUMPUR, 8 Ogos 2016 : Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak ketua jurulatih pasukan berkenaan, Zainal Abidin Hassan berkuat kuasa mulai semalam.

Pengurus Pasukan berkenaan, Amirudin Shari berkata, keputusan itu diambil berikutan prestasi hambar pasukan berkenaan serta atas arahan daripada Presiden FAS, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut Amirudin, tugas Ketua Jurulatih akan digalas oleh penolongnya, K.Gunalan sehingga satu tempoh yang ditetapkan selepas ini.

“Gunalan, iaitu penolong Ketua Jurulatih akan menggalas tugas berkenaan sehingga satu tempoh di mana FAS dan pengurusan pasukan mengenal pasti calon sesuai bagi mengemudi Selangor dalam menghadapi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

sumber anakselangorfanclub

sumber anakselangorfanclub

Sebelum ini, Azmin yang juga merupakan Menteri Besar Selangor memaklumkan bahawa pihaknya telah mengarahkan Amirudin dan penolongnya, Noor Hisham Mohd Ghouth untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan membuat rombakan segera ke atas pasukan tersebut.

Dalam pada itu dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada lewat petang tadi memaklumkan Presiden FAS, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan penerimaan perletakan jawatan Setiausaha FAS, Rosman Mohd Ibrahim dan Bendahari FAS, Dato S Sivasundram.

Apakah ini yang dikatakan rombakan besar-besaran FAS ? Semoga dengan pemecatan Zainal, perletakan jawatan dua tenaga penting di FAS, akan membuka segala pekung dan rahsia kemerosotan prestasi pasukan Selangor selama ini.