Home / Hoki / LIGA HOKI DALAM DEWAN MALAYSIA 2020 DITUNDA

LIGA HOKI DALAM DEWAN MALAYSIA 2020 DITUNDA

Ekoran peningkatan jangkitan wabak Pandemik Covid-19 yang membimbangkan ketika ini, Kejohanan Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia 2020 (MIHL) yang sepatutnya bermula 24 Oktober ini terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) telah menerima surat pemakluman daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), mengenai saranan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar penganjuran sebarang kejohanan berskala besar ditangguhkan untuk ketika ini.

UPSI sebelum ini telah dipilih sebagai venue kejohanan dan selepas mengambil kira saranan yang dikeluarkan oleh KPT serta panduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN), keputusan untuk menunda kejohanan tersebut telah dibuat.

Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan dan Akademi Hoki Raja Ashman Shah, yang dipengerusikan oleh En. Shurizan Mansor telah mencapai kata sepakat untuk menangguhkan penganjuran kejohanan tersebut dalam mesyuarat jawatankuasa kali keenam yang berlangsung pada Sabtu secara aplikasi dalam talian.

“UPSI dipilih sebagai venue kejohanan dan kami sedia maklum, Institut Pengajian Tinggi (IPT) terikat dengan peraturan yang telah dikeluarkan oleh KPT selain kami juga menghormati peraturan yang telah dikeluarkan termasuk larangan untuk mengadakan aktiviti secara bersemuka.

“Kami juga menerima penyertaan pasukan daripada Sabah dan Sabah adalah negeri yang menunjukkan taburan kes Covid-19 yang tinggi, jadi mustahil untuk Sabah melakukan perjalanan ke Semenanjung bagi menyertai kejohanan.

“Setelah meneliti pelbagai situasi yang turut berkait dengan penularan wabak Pandemik Covid-19 di Malaysia, dan selepas mendapat persetujuan daripada Ahli Lembaga Eksekutif KHM, saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan dan Akademi Hoki Raja Ashman Shah bersama ahli jawatankuasa yang lain sebulat suara untuk menangguhkan penganjuran Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia 2020,” jelas En. Shurizan Mansor.

Bagi memastikan kesihatan serta keselamatan semua pihak yang terlibat dalam arena hoki di tanah air, KHM akan terus memastikan setiap saranan serta pandangan yang telah diberikan oleh Kerajaan Malaysia termasuk KKM serta MKN dipatuhi, sebagai salah satu usaha bagi memutuskan rantaian penularan wabak Pandemik Covid-19 yang kini cukup membimbangkan.