Home / Hoki / LIGA HOKI DALAM DEWAN MALAYSIA : 14 PASUKAN LELAKI DAN 10 PASUKAN WANITA SAHKAN PENYERTAAN

LIGA HOKI DALAM DEWAN MALAYSIA : 14 PASUKAN LELAKI DAN 10 PASUKAN WANITA SAHKAN PENYERTAAN

Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan dan Akademi Hoki Raja Ashman Shah, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini mengesahkan 14 pasukan lelaki dan 10 pasukan wanita telah mengesahkan penyertaan mereka bagi kejohanan Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia 2020.

Kejohanan yang akan berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim itu akan berlangsung selama lima minggu di mana kejohanan akan membuka tirai pada 26 Oktober itu akan dilangsungkan pada setiap hujung minggu dan aksi final akan berlangsung pada 29 November 2020.

Kejohanan ini juga telah menerima penyertaan daripada Persatuan Hoki yang bernaung di bawah KHM seperti Persatuan Hoki Negeri Perlis, Persatuan Hoki Negeri Sembilan, Persatuan Hoki Negeri Perak, Persatuan Hoki Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Persatuan Hoki Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan dan Akademi Hoki Raja Ashman Shah, En. Shurizan Mansor, format kejohanan di bahagikan kepada dua dengan kategori lelaki akan beraksi secara liga dua kumpulan manakala wanita secara liga satu kumpulan.

“Bagi kategori lelaki, empat pasukan daripada kumpulan A dan empat pasukan daripada kumpulan B akan meneruskan kemaraan di pentas suku akhir bagi meneruskan perebutan tempat di perlawanan akhir.

“Sementara bagi pasukan wanita pula, empat pasukan terbaik akan melangkah ke pentas separuh akhir dan dua pasukan terbaik akan bersaing merebut gelaran juara sulung Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia.

“Untuk pemain kebangsaan, kami telah berbincang dengan Coach Arul Selvaraj dan persetujuan secara lisan telah diterima untuk melepaskan pemain-pemain kebangsaan beraksi dalam kejohanan ini” jelasnya pada sidang media yang berlangsung di Pejabat KHM hari ini.

Pemain yang akan beraksi pada saingan liga ini merupakan pemain yang berusia 18 tahun ke atas bagi lelaki dan wanita dengan Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan dan Akademi Hoki Raja Ashman Shah turut mensasarkan untuk menjadikan kejohanan ini sebagai media bagi mencari pemain hoki dalam dewan yang boleh menyarung jersi Malaysia.