Home / Lain - Lain / Lee Hup Wei layak ke akhir lompat tinggi Kejohanan Dunia 2019

Lee Hup Wei layak ke akhir lompat tinggi Kejohanan Dunia 2019

Atlet lompat tinggi negara Lee Hup Wei berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila muncul atlet pertama negara melangkah ke pusingan akhir acara itu pada Kejohanan Olahraga Dunia.

Kejohanan yang berlangsung di Doha Qatar itu menyaksikan Hup Wei yang berusia 32 tahun mara selepas melakukan lompatan cemerlang yang juga rekod peribadi terbaiknya iaitu 2.29m pada saingan kelayakan.

Biarpun bertanding atas tiket Wild Card, jaguh lompat tinggi negara itu nyata tidak mempersiakan kepercayaan yang diberikan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOAM).

Hup Wei mengotakan janjinya untuk menempah tiket ke final dengan mencatatkan rekod peribadi terbaik iaitu 2.29m pada peringkat kelayakan yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Khalifa.

Dia yang diletakkan dalam kumpulan B melepasi melepasi lompatan 2.17m, 2.22m dan 2.26m dengan satu percubaan seterusnya berjaya melakukan lompatan 2.29m dalam cubaan terakhir.

Catatan itu juga memperbaiki rekod terbaiknya sebelum ini iaitu 2.28m yang dilakukan tahun lalu namun kekurangan 0.01m bagi menyamai rekod kebangsaan milik Nauraj Singh Randhawa.

Kejayaan itu juga meletakkan Hup Wei yang juga pemenang tiga pingat emas dan 1 perak pada temasya Sukan SEA dalam senarai 12 atlet terbaik yang akan bertanding pada pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 1 pagi Sabtu ini waktu Malaysia.

Sejak kejohanan dunia dianjurkan pada 1983 ini kali pertama atlet negara mara ke pentas akhir dalam acara ini.