Home / Lain - Lain / LE TOUR DE LANGKAWI 2020 : PKBM BAKAL BERDEPAN TINDAKAN DARI UCI

LE TOUR DE LANGKAWI 2020 : PKBM BAKAL BERDEPAN TINDAKAN DARI UCI

Ketika saingan Le Tour De Langkawi yang hanya berbaki 2 minggu lagi, saingan berbasikal lebuhraya paling berpestij di negara ini bakal berdepan tindakan Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) jika gagal memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebagai perlumbaan berstatus Pro Series.

Ini berikutan perkhabaran penganjur perlumbaan Human Voyage masih gagal melengkapkan 8 pasukan Pro Tour dan Pro Benua bagi perlumbaan edisi 2020.

Bagaimana pun presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab memaklumkan masih ada peluang buat LTDL diselamatkan sekiranya syarat Pro Series tetap gagal dipenuhi.

Tambah Datuk Abu Samah setakat ini hanya ada satu pasukan Pro Tour sah akan mengambil bahagian jumlah yang agak jauh meleset daripada janji yang dibuat penganjur sebelum ini iaitu 6 pasykan berstatus Pro Tour.

Bagi PKBM sekiranya jumlah 8 pasukan gagal dipenuhi perlumbaan edisi 2020 tetap perlu diteruskan.

Penganjur Human Voyage yang mempunyai kontrak penganjuran LTDL bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sehingga 2021 harus bermula awal bagi edisi seterusnya.

Berdasarkan tarikh dalam kalendar UCI perlumbaan LTDL 2020 dijadualkan berlangsung pada 7-14 Februari bermula di Kuching Sarawak menuju ke Pulau Langkawi.

Dua acara tambahan turut diatur Kriterium Antarabangsa Kota Kinabalu pada 6 Februari sebelum ditutup dengan Malaysia Classic Race Of The Champion di Pulau Langkawi pada 15 Februari.

Dalam pada itu juga PKBM kecewa dengan prestasi pelumba negara pada temasya Sukan SEA Filipina 2019.

Justeru itu pada Sukan SEA 2021 di Vietnam, PKBM memutuskan acara lebuhraya hanya akan diberi keutamaan kepada pelumba kebangsaan dan bukan untuk pelumba dari pasukan yang bertaraf benua.

Kurang keserasian dikalangan pelumba dan tempoh persiapan yang singkat pelumba professional yang mempunyai komitmen dengan pasukan masing-masing menjurus kepada penampilan longgar pasukan.

Dalam acara berlepas beramai-ramai pasukan negara sekadar menduduki tempat kelima.

Walaupun dibarisi dengan nama-nama pelumba terkemuka dari pasukan kebangsaan dan professional, Team Sapura Cycling (TSC) dan Terengganu TSG Cycling Team gagal menyerlah dalam kesemua empat acara lelaki dan dua acara wanita sekaligus pulang tanpa sebarang pingat.