Home / Lain - Lain / LATIHAN SEPENUH MASA BAKAL BERMULA 5 JULAI INI

LATIHAN SEPENUH MASA BAKAL BERMULA 5 JULAI INI

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bersetuju untuk kesemua atlet kembali dipanggil menjalani harian secara sepenuh masa.

Pada kali ini kemasukan atlet akan diadakan secara berperingkat-peringkat dengan kumpulan pertama dijangka akan kembali bermula 5 Julai ini.

Menerusi satu kenyataan media KBS memaklumkan ia merangkumi kesemua atlet di bawah program Road To Tokyo (RTT), Program Podium dan juga program pelapis kebangsaan.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 539 atlet dan 142 jurulatih yang akan dipanggil semula menjalani latihan harian sepenuh masa di venue-venue latihan yang telah ditetapkan iaitu di Bukit Jalil, Kompleks MSN Keramat, ABN di Bukit Kiara dan juga Pusat Pelayaran MSN di Langkawi.

Seramai 135 atlet sukan para dan 31 jurulatih diminta untuk melaporkan diri di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan juga pada tarikh yang sama.

Arahan juga telah dikeluarkan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican untuk MSN meneliti dan mengkaji semula program latihan yang telah dirangka bagi menyesuaikan dengan perkembangan sukan masa kini yang telah banyak terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Walaupun sudah banyak kelonggaran diumumkan kerajaan terutama yang membabitkan industri sukan negara, peringat turut diberikan kepada semua pihak terutamanya atlet dan jurulatih agar terus mematuhi langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan kerajaan.