Home / Badminton / Lapan lagenda badminton bergabung mencari juara baharu Program Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah

Lapan lagenda badminton bergabung mencari juara baharu Program Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah

Kelab badminton Sports Affairs dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah melancarkan Program Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah.

Program kejohanan dan pembangunan badminton yang diiktiraf di peringkat kebangsaan ini akan diuruskan oleh ketua jurulatih merangkap pengarah program Rashid Sidek yang merupakan bekas jaguh badminton perseorangan negara.

Platform ini juga turut menghimpunkan 8 lagenda badminton Malaysia untuk mencari, melatih dan mengasah bakat dalam mencari juara baru berusia bawah 18 tahun dari seluruh negara.

Program ini akan menganjurkan klinik bimbingan yang akan bermula Oktober ini hingga akhir November nanti di sekitar Kedah, Pahang, Johor, Sarawak, Sabah dan Kuala Lumpur.

Ini bertujuan untuk memilih 96 pemain bawah 18 tahun untuk menimba ilmu bersama 8 lagenda yang mengemudi Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah iaitu Foo Kok Keong, Cheah Soon Kit, Rahman Sidek, Ong Yung Hock, Roslin Hashim, Zakri Latif, Koo Keng Kiat dan Woon Kei Wei.

Mereka akan membentuk pasukan masing-masing yang terdiri daripada 12 orang pemain dalam setiap pasukan dan akan berentap dalam kejohanan akhir Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah yang dijadualkan berlangsung Disember nanti.

Sementara itu Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Norza Zakaria nyata gembira dengan inisiatif kelab badminton Sports Affairs yang mana program ini banyak membantu untuk mencari pelapis muda yang baginya masih kekurangan.