Bukit Jalil, 11 Jun 2015: Masih di takuk lama? Mungkin itulah yang bermain di pemikiran penyokong-penyokong pasukan bolasepak Malaysia apabila menyaksikan pasukan Timor Leste berjaya mencuri satu mata dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit-minit akhir perlawanan.
Namun sangkaan peminat yang mengharapkan pasukan Harimau Malaya ini menunjukkan taringnya tidak kesampaian apabila dipamerkan dengan permainan yang tidak teratur sebaik permainan dimulakan.
Walau bagaimanapun, Malaysia masih mampu mendahului apabila Mohd Safee Mohd Sali menamatkan kemarau jaringannya pada minit ke 33. Namun, asakan bertali arus yang diharapkan oleh sekitar 5000 orang penyokong tidak kesampaian apabila hantaran-hantaran pantas Harimau Malaya sering terkandas dan mudah dibaca pihak lawan.
Permainan separuh masa kedua tidak banyak menyaksikan perubahan namun peluang gol yang muncul untuk pasukan Malaysia dihampakan dengan ketumpulan jentera serangan. Malah kemasukan Azammuddin Mohd Akil dan Muhammad Afiq Azmi gagal menambah jaringan untuk memberi keselesaan kepada pasukan Malaysia.
Malaysia akhirnya dikejutkan dengan jaringan minit akhir apabila Ramon De Lima Saro berjaya melakukan tandukan untuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.
Malaysia akan meneruskan saingan dalam Kelayakan Piala Dunia 2018 / Piala Asia 2019 apabila menanti kunjungan Palestin Selasa depan.