Home / Lain - Lain / Lagenda Australia Turun Ilmu Kepada Malaysian Tigers

Lagenda Australia Turun Ilmu Kepada Malaysian Tigers

Bagi memastikan skuad hoki lelaki negara mendapat persiapan secukupnya menjelang perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) telah mendapatkan khidmat bekas penyerang Australia, Micheal McCann untuk membantu memantapkan lagi jentera serangan Malaysian Tigers bermula 30 Jun hingga 6 Julai.

McCann yang mengumumkan persaraan daripada pentas antarabangsa pada tahun 2007 selepas beraksi 165 perlawanan bersama pasukan Australia dan menjaringkan 72 gol merupakan salah seorang pemain yang menyumbang pingat emas kepada pasukannya ketika di Sukan Olimpik Athens 2004.

Pengendali negara, Roelant Oltmans yang ditemui semalam ketika sesi latihan Malaysian Tigers di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil berkongsi mengenai perkara tersebut dan menyifatkan pemilihan lagenda Australia itu untuk membantu skuad negara kerana pengalaman yang dimilikinya terutamanya dalam melatih bahagian serangan.

“Minggu pertama dalam bulan Julai, Micheal McCann iaitu bekas penyerang Australia dan juga bekas jurulatih bahagian serangan Jerman, akan menyertai kami selama seminggu.

“Kehadirannya adalah untuk membantu bahagian serangan terutamanya dalam menterjemahkan setiap peluang-peluang gol kepada jaringan.

“Kami mendapatkan bantuan daripada McCann kerana dia mempunyai pengalaman dalam melatih pemain terutamanya bahagian serangan.

“McCann antara lagenda di Australia dan kami gembira apabila dia bersetuju untuk datang membantu pasukan negara,” jelas Roelant.

Dalam pada itu, Roelant menyatakan seramai 20 pemain akan dibawa untuk menyertai Siri Jelajah Eropah di mana dalam tempoh sebulan dia akan mengumukan senarai pemain tersebut.

Pemain yang tidak menyertai siri jelajah ini akan diberikan peluang untuk menyertai Acara Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Tokyo Jepun dan acara itu akan disertai oleh skuad negara bersama-sama tuan rumah, Jepun, New Zealand dan Australia pada 19 hingga 23 Ogos 2019.