Home / Lain - Lain / Kuala Lumpur cipta hatrik kejuaraan Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan 2019

Kuala Lumpur cipta hatrik kejuaraan Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan 2019

Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan edisi ke-41 melabuhkan tirai di Stadium Juara Bukit Kiara menyaksikan Kuala Lumpur mempertahankan kejuaraan dengan menewaskan Perak 53-35.

Manakala Johor meraih tempat ketiga selepas berhempas pulas menewaskan Terengganu dengan hanya kelebihan tiga mata 53-50.

Turun selaku pasukan pilihan Kuala Lumpur unggul mendominasi perlawanan walaupun Perak memberi saingan pada suku pertama dengan kedudukan 16-13.

Kuala Lumpur terus mengawal perlawanan apabila menamatkan suku kedua 32-21.

Skuad kendalian Norizan Rajab itu jelas tidak berdepan masalah untuk mengekang serangan pihak lawan apabila terus melebarkan mata meletakkan Kuala Lumpur di hadapan dengan kedudukan 44-26.

Kuala Lumpur akhirnya berjaya mempertahankan kejuaraan juga gelaran kali ketiga berturut-turut dengan kemenangan 53-35.

Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Terengganu menentang Johor nyata lebih sengit apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam setiap suku perlawanan.

Namun kelebihan lebih memihak kepada Terengganu pada dua suku awal apabila mendahului 15-13 dan 30-26.

Suku ketiga lebih mendebarkan apabila Johor bangkit merapatkan kedudukan 40–39.

Kesungguhan Johor nyata terus memberi tekanan buat Terengganu yang akhirnya akur dengan kemenangan berpihak Johor 53-50 sekaligus mengekalkan kedudukan ketiga tahun lalu.

PPingat dan trofi disampaikan oleh Suhaimi Sun selaku Timbalan Pengarah Sukan kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia.