Home / Golf / Kota Permai raikan media

Kota Permai raikan media

Pengamal Media bergambar sebelum Kejohanan. Gambar oleh Mike Casper / KPGCC

SHAH ALAM, 17 Julai 2018 : Kelab Golf Kota Permai hari ini meraikan pengamal media di Malaysia dengan menganjurkan Kejohanan Golf Media yang berlangsung di Kelab Golf Kota Permai, Shah Alam, Selangor.

Seramai 80 orang pengamal media cetak dan digital dari Malaysia dan juga Singapura, bersaing dalam kejohanan yang telah menjadi acara tahunan ajuran kelab bagi merapatkan lagi hubungan diantara organisasi kelab dan pengamal-pengamal media di Malaysia.

Kejohanan yang berformatkan sistem Stableford 36, menyaksikan para pemain disajikan dengan lapangan golf bertaraf kejohanan antarabangsa dengan kelajuan ‘green’ yang mencabar setiap pemain.

Pengarah Operasi Kelab dan Perbandaraan, Gamuda Land Berhad, Encik Tang Meng Loon berkata, kejohanan golf media merupakan acara tahunan yang dianjurkan kelab dan sentiasa dinanti-nantikan oleh pengamal media.

‘Kita mendapat kerjasama yang sangat positif dari semua pengamal-pengamal media dan kita merasakan kejohanan ini merupakan satu platform untuk kakitangan Kelab Golf Kota Permai merapatkan hubungan dengan rakan-rakan media yang sentiasa memberi sokongan kepada Kelab Golf Kota Permai’

Mahathir Mohamad dari Media Prima, Juara Kejohanan Golf Media 2018

“Lapangan golf Kelab Golf Kota Permai pula berada dalam keadaan terbaik selepas selesai kejohanan Juara antara Kelab-Kelab Golf, dan saya yakin ianya memberi cabaran kepada semua pemain yang bermain dalam kejohanan ini”. ujar Mr Tang Meng Loon.

Sementara itu, Pengurus Kumpulan Pemegang Amanah Media Prima Berhad, Mahathir Mohamad menjuarai kejohanan apabila melakukan 78 pukulan gross, sambil Aziz Abdul Hassan dari NST, yang melakukan 81 pukulan gross di tempat kedua dan Imran Mohd Nor dari Utusan Malaysia berada di tempat ketiga dengan 83 pukulan gross.

Dalam kejohanan yang sama,  tujuh pemain yang berada di tempat teratas secara automatik layak mewakili Malaysia dalam Kejohanan Causeway Cup menentang pasukan media Singapura pada bulan September akan datang. Pemain-pemain tersebut ialah Mahathir Mohamad (Media Prima), Imran Mohd Nor (Utusan Malaysia), Ida Fahany (Par Golf), Ismadi Manap (RTM), Zaini Salihin (NST), Andrew Ng (Golf Malaysia) dan Ismail Daud (Utusan Malaysia).

Menurut ketua pasukan Malaysia, Aziz Abdul Hassan, beberapa orang pemain akan dipilih dalam beberapa siri perlawanan golf bagi melengkapkan senarai 20 orang pemain Malaysia dalam misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lalu.