Home / Hoki / Korea Selatan medan sesi perlawanan ujian skuad hoki negara

Korea Selatan medan sesi perlawanan ujian skuad hoki negara

Jurulatih skuad Malaysia, Roelant Oltmans. Gambar oleh Jeffrizal Abu / SM International

Pengendali skuad hoki negara Roelant Oltmans menyenaraikan 20 pemain yang akan mengikuti sesi perlawanan ujian di Korea Selatan sebagai destinasi skuad kebangsaan sebagai persiapan menuju ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020 diatur sebaik Malaysia mengetahui lawan yang bakal ditentang bermula September ini.

Menurut Oltmans juga senarai 18 pemain terakhir yang bakal memikul cabaran Malaysia akan berada dalam senarai 20 pemain ini.

Aksi pasukan Hoki Malaysia. Gambar oleh Jeffrizal Abu / SM International

20 pemain yang tersenarai ke Korea Selatan antara barisan terkuat yang dimiliki negara ketika ini. S.Kumar mengetuai senarai selaku penjaga gol utama bersama Zaimi Mat Deris.

Di barisan pertahanan pemain yang tersenarai iaitu kapten Sukri Abdul Mutalib selain Faiz Helmi Jali, Syed Mohammad Syafiq dan Najib Abu Hassan.

Oltmans turut memilih untuk menyenaraikan empat pemain yang boleh beraksi dalam dua posisi pertahanan dan tengah iaitu Nabil Fiqri Mohd Noor dan Mohamad Ashran Hamsani.

Mohd Fitri Saari pula akan mengetuai bahagian tengah bersama Meor Mohd Azuan Hasan, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.

Manakala barisan serangan dipimpin Tenku Ahmad Tajuddin Tengku Abdl Jalil, Faizal Saari, Norsyafiq Sumantri.

Skuad negara akan berangkat ke Korea pada 19 September untuk mengharungi empat perlawanan ujian menentang skuad kebangsaan Korea Selatan.

Berdasarkan perancangan Oltmans aksi di Korea nanti bakal jadi penentu 18 pemain yang akan membarisi skuad kebangsaan bagi pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Berdasarkan sesi undian pada 9 September ini sesi latihan itu akan lebih menjurus kepada lawan yang bakal ditentang Malaysia Oktober hingga November nanti.