Home / Bola Sepak / Kim Swee: Jentera Serangan Akan Diperbaiki

Kim Swee: Jentera Serangan Akan Diperbaiki

asian games 2014

Artikel Oleh : Al-Zaem

Tugas getir menanti barisan pemain Harimau Muda yang dibawa ke Sukan Asia kali ini apabila kehilangan khidmat pemain-pemain yang berkebolehan menjaringkan gol serta mampu mencipta peluang dan melakukan percubaan merbahaya ke kubu lawan. Antara pemain yang terpaksa disisihkan akibat kecederaan adalah Wan Zack Haikal, Rozaimi Abdul Rahman, Syahrul Azwari, D. Saarvindran, Irfan Fazail, Wan Zaharulnizam dan terbaru A. Thamil Arasu yang mengalami kecederaan belakang ketika aksi menentang skuad senior Yaman, Sabtu lalu.

Melihatkan statistik perlawanan menentang Yaman yang berkesudahan Harimau Muda tewas 0-1, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee tampak bergelut melakukan percubaan merbahaya untuk menguji penjaga gol lawan, Saoud Al-Sowadi.  “Jika sebelum ini saya kehilangan Wan Zack Haikal, D. Saarvindran dan Syahrul Azwari, kini Kecik (Wan Zaharulnizam) pula menyusul. Saya terpaksa melihat kepada beberapa pilihan lain dengan mungkin terpaksa memikirkan Fandi Othman, A. Thamil Arasu, Norfarhan Muhammad atau Ridzwan (Saiful Ridzwan Selamat) sendiri bermain di posisi sayap kanan,” kata Kim Swee sebelum perlawanan bermula.

Jelas kerisauan Kim Swee mengenai bahagian sayapnya yang serba kekurangan kali ini terungkap dalam aksi pemanas badan tersebut. Penyerang, Thamil Arasu yang diletakkan di posisi tersebut gagal memberikan impak malah mengalami kecederaan selepas itu. Dua hantaran jauh yang baik daripada pemain Kelantan, Brendan Gan kepadanya gagal dikejar dan peluang untuk menjana serangan ke kubu lawan itu tersia-sia begitu sahaja. Harimau Muda yang sebelum ini memiliki pemain sayap yang pantas dan lincah seperti Wan Zack Haikal dan Wan Zaharulnizam kini terpaksa mencari penganti yang setanding mereka.

Selain itu, aksi kurang agresif dan tempo menyerang yang sedikit sumbang mewarnai babak pertama perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Shah Alam itu. Mungkin mahu mengelakkan tambahan kepada senarai kecederaan pemain, namun aksi yang dipamerkan sedikit mengecewakan. Junior Eldstal yang bergandingan bersama Brendan di jentera tengah kelihatan kurang menjadi. Gagal beraksi seperti selalu, Junior tenggelam dan tampak seakan-akan penat dan hilang sentuhan. Junior adalah antara nadi kejayaan Harimau Muda di Pestabola Merdeka 2013, di Kuantan, tahun lalu.

Sedikit melegakan apabila melihat aksi baik Harimau Muda di babak kedua dengan pemain sayap Sarawak, Ashri Chuchu yang berjaya melakukan beberapa gerakan dan percubaan ke gawang lawan antaranya pada minit ke-68, namun sedikit tersasar. Begitu juga pertahanan kiri, Zubir Azmi yang mana percubaannya terkena tiang gol lawan sepuluh minit sebelum itu. Pemain muda berbakat, Nazmi Faiz Mansor juga mempamerkan aksi positif apabila diturunkan dalam babak kedua untuk bergandingan dengan Junior, sementara Brendan terpaksa beralih posisi ke sebelah kanan menggantikan Thamil Arasu. Peluang terbaik kombinasi ini nyaris menghasilkan gol pada minit ke-57 namun percubaan terakhir Ferris Daniel di depan gol tersasar. Penyerang Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Bobby Gonzales yang menjadi pilihan pertama Kim Swee mengetuai jentera serangan pula dilihat gagal menyesuaikan diri. Bobby keseorangan di atas tanpa sokongan daripada rakan-rakan sepasukan terutama gandingannya, Ferris Daniel yang lebih banyak turun membantu bahagian tengah yang bergelut ketika itu.

Kim Swee kemudiannya menguji penyerang Terengganu, Mohd Norfarhan Muhammad dan situasi yang sama berulang. Walaubagaimanapun, Kim Swee akhirnya memilih untuk menyenaraikan Farhan ke Incheon berbanding Bobby. “Saya sebenarnya terpaksa memilih antara Farhan dan Bobby. Kalau diberi peluang saya mahu memilih kedua-dua sekali namun Farhan boleh beraksi di posisi sebelah kanan dan kiri,” ujar jurulatih berusia 43 tahun itu selepas mengumumkan senarai 20 pemain yang akan dibawa ke Sukan Asia.

Mengulas mengenai kekalahan kepada Yaman, Kim Swee nyata berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan sambil mengakui kelemahan jentera serangan skuadnya. Skuad negara tewas hasil jaringan tunggal Muhammed Fuad pada minit ke-79. “Dalam perlawanan persahabatan menentang China, Rabu ini, saya ada dua sesi latihan. Saya harap sesi latihan itu dapat disempurnakan untuk memperbaiki kelemahan kita terutamanya di bahagian serangan,” kata Kim Swee. Selepas ini, skuad negara sekali lagi diuji menerusi perlawanan persahabatan menentang China pada 10 September ini sebelum berlepas ke Korea Selatan.

Malaysia berada dalam Kumpulan A dan akan menentang Korea Selatan pada aksi pembuka tirai pada 14 September nanti sebelum melengkapkan saingan peringkat kumpulan menentang Laos dan Arab Saudi. Mengikut format pertandingan, dua pasukan teratas daripada setiap lapan kumpulan layak ke pusingan kedua.

Senarai 20 pemain skuad Harimau Muda untuk Sukan Asia 2014:
Penjaga Gol: Izham Tarmizi Roslan (JDT), Farhan Abu Bakar (HMA)
Pertahanan: Aidil Zafuan (JDT), Fadhli Shas (JDT), Amer Saidin (HMA), Shahrul Saad (HMA), Nazirul Naim (HMA), Zubir Azmi (TER), Azrif Nasrulhaq (HMA), Fandi Othman (HMA)
Tengah: Brendan Gan (KEL), Junior Eldstal (SAR), Nazmi Faiz (SEL), Gary Stevan Robbat (HMA), Saiful Ridzwan Selamat (HMA), Amirul Hisyam Awang Kechik (HMA), Ashri Chuchu (SAR)
Penyerang: Norfarhan Mohamad (TER), Ahmad Hazwan Bakri (SEL), Ferris Daniel Mat Nasir (HMA)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*