Home / Golf / KGPA bersedia anjurkan Golf Amatur Terbuka Kuala Lumpur edisi ke-14

KGPA bersedia anjurkan Golf Amatur Terbuka Kuala Lumpur edisi ke-14

BUKIT KIARA 23 Ogos 2019 : Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) telah bersedia untuk menganjurkan Kejohanan Golf Amatur Terbuka Kuala Lumpur yang dijadualkan pada 27 – 29 Ogos 2019 akan datang. 

Pengerusi Kejohanan Golf Amatur Terbuka Kuala Lumpur, Datuk Mahat Bahari ketika ditemui berkata, lapangan KGPA telah disiapkan lebih awal apabila KGPA dijadikan lapangan Kejohanan Golf Persahabatan sempena pertabalan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong bulan lalu dan kerja-kerja penyelenggaran lapangan diteruskan dan dipertingkatkan menjelang Kejohanan Golf Amatur Terbuka Kuala Lumpur.

Datuk Mahat Bahari © Utusan Online

“KGPA telah melakukan kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaran lebih awal dan kini lapangan KGPA berada dalam keadaan terbaik. Kerja-kerja penyelenggaran terus dilakukan bagi memastikan lapangan KGPA berada dalam keadaan terbaik sempena Kejohanan Golf Amatur Terbuka Kuala Lumpur”– ujar Dato Mahat Bahari yang juga Pengurus Besar Kelab Golf Perkhidmatan Awam.

Terkenal sebagai antara lapangan paling sukar di Malaysia, KGPA menjanjikan cabaran yang berlainan buat 110 orang pemain yang akan bersaingan dalam kejohanan kali ini. Permukaan lapangan yang beralun, ‘fairway’ yang sempit. ‘green’ yang mengelirukan dan kelajuan ‘green’ yang sukar dikawal sudah pasti menunggu dan menguji para pemain dalam kejohanan kali ini. KGPA juga melakukan kerja-kerja perubahan dan naik taraf di beberapa ‘green’ bagi menambah lagi cabaran buat pemain. 


Ketika diajukan soalan mengenai cabaran yang bakal menanti para pemain, Datuk Mahat optimis kerja-kerja naik taraf yang dilakukan akan menjadikan permukaan dan wajah ‘green’ lebih mencabar dan sukar untuk dikuasai. 

“Kita melakukan kerja-kerja naik taraf di beberapa ‘green’ bagi menambah cabaran buat pemain. Lubang 12 tetap kekal sebagai antara lubang paling sukar dan ‘green’ 15 tetap memerlukan pukulan yang tepat bagi membolehkan bola mendarat di permukaan ‘green’ jika ingin menguasai ‘green’ tersebut”– ujar Dato Mahat.

Dengan mensasarkan kelajuan speed pada kelajuan 9.5 ke 10 stim meter, cabaran ini pasti menunggu pemain-pemain dari Malaysia, Singapura, Hong Kong dan Austraia. Malaysia melalui Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan Akademi Golf Kebangsaan UUM, menghantar seramai lebih 30 orang pemain untuk bersaing dalam kejohanan kali ini. Antara pemain pilihan ialah Norharith Norhadi, Sheikh Abd Razak Eawof dan Marcus Lim yang menjadi pertaruhan terbaik MGA untuk edisi kali ini. 

Berpuashati dengan persiapan yang dijalankan, Dato Mahat juga berharap edisi kali ini akan melahirkan juara dikalangan pemain Malaysia seperti edisi tahun lalu. 

“Saya berharap agar pemain Malaysia mengambil kesempatan bersaing di gelanggang sendiri dengan muncul juara seperti edisi tahun lalu. Peluang bagi pemain golf wanita juga terbuka apabila juara tahun lalu dari Filipina tidak bermain pada tahun ini dan ini merupakan peluang terbaik untuk kita melihat pemain golf wanita Malaysia muncul juara”– ujar Dato Mahat

Pada edisi tahun lalu, pemain Malaysia, Ervin Chang muncul juara kategori lelaki manakala Lois Kaye Go dari Filipina muncul juara kategori wanita. Kejohanan Golf Amatur Terbuka Kuala Lumpur edisi ke-14 berlangsung pada 27 – 29 Ogos 2019 dan untuk maklumat lanjut boleh layari laman web www.mgaonline.com.my