Home / Bola Sepak / KFA LUNASKAN SEBAHAGIAN TUNGGAKAN GAJI PEMAIN DAN PEGAWAI

KFA LUNASKAN SEBAHAGIAN TUNGGAKAN GAJI PEMAIN DAN PEGAWAI

Pemain Kedah bakal menyambut Aidilfitri dengan gembira selepas Kerajaan Negeri sebelum ini meluluskan peruntukan RM2juta untuk membayar tunggakan gaji mereka.

Perkara itu disahkan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Asmirul Anuar Aris yang turut memaklumkan bekas Menteri Besar merangkap Presiden KFA Datuk Seri Mukhriz Mahathir sudah meluluskan peruntukan itu dua hari sebelum meletak jawatan.

Daripada jumlah kelulusan RM2juta sebanyak RM500,000.00 sudah dibayar kepada semua pemain dan pegawai pada 14 Mei lalu.

Manakala baki RM1.5juta Asmirul berharap dapat dibayar segera oleh kepimpinan kerajaan negeri baharu selepas ini.

Dalam masa yang sama Asmirul mengharapkan kerajaan negeri baharu dapat meneruskan usaha seperti yang telah dilakukan kepimpinan tertinggi KFA sebelum ini.

Dengan perkembangan baharu ini setidak-tidaknya ia melegakan pemain menjelang sambutan Aidilfitri ini.