Home / Lain - Lain / KERAJAAN UMUM BEBERAPA AKTIVITI SUKAN DAN REKREASI YANG KEMBALI DIBENARKAN

KERAJAAN UMUM BEBERAPA AKTIVITI SUKAN DAN REKREASI YANG KEMBALI DIBENARKAN

Kerajaan telah mengumumkan beberapa lagi aktiviti sukan dan rekreasi yang kembali dibenarkan bermula 10 Jun ini dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Aktiviti sukan individu dan berkumpulan yang tidak melibatkan sentuhan kini boleh dimainkan semula. Namun disyaratkan mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.

Bagaimanapun berita gembira yang disampaikan Perdana Menteri turut menyentuh beberapa sukan yang masih dilarang seperti pertandingan sukan yang melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai seperti di stadium, sukan renang dan kolam renang awam, serta sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bola sepak, bola keranjang dan hoki.

Beberapa jenis sukan dan rekreasi yang dibuka adalah seperti latihan persediaan pasukan bagi aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan seperti boling, badminton, memanah, menembak dan lain-lain lagi.

Aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motorsikal turut dibenarkan.

Justeru usaha beberapa persatuan sukan yang mahu menggerakkan semula aktiviti masing-masing sekali lagi terencat.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) antara yang paling terdesak kerana memerlukan persediaan rapi buat pasukan bola sepak kebangsaan dan skuad B19 yang mempunyai misi kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia pada Oktober dan November.

FAM turut berusaha memastikan latihan pasukan Liga Malaysia dapat diadakan semula disamping berharap liga dapat bersambung semula bulan September dengan SOP ketat tanpa penyokong.