Home / Bola Sepak / KEPUTUSAN MESYUARAT KE-7 JAWATANKUASA PENGADIL PERSATUAN BOLA SEPAK MALAYSIA BAGI PENGGAL 2017-2021

KEPUTUSAN MESYUARAT KE-7 JAWATANKUASA PENGADIL PERSATUAN BOLA SEPAK MALAYSIA BAGI PENGGAL 2017-2021

Selepas meneliti laporan daripada Pegawai Penilai Pengadil bagi setiap perlawanan CIMB Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020, jawatankuasa berpendapat bahawa prestasi keseluruhan pengadil dan penolong pengadil sepanjang musim ini adalah pada tahap memuaskan, biarpun terdapat sebilangan mereka yang gagal menjalankan tugas dengan baik apabila melakukan kesilapan dalam membuat keputusan.

Jumlah aduan/bantahan yang diterima daripada pasukan bertanding sepanjang saingan CIMB Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020 juga adalah rendah yang mana FAM hanya menerima sebanyak empat aduan rasmi. Lain-lain pasukan didapati hanya membuat bantahan melalui media.

Bagaimanapun, berdasarkan aduan tersebut dan juga laporan diterima daripada Pegawai Penilai Pengadil bertugas, jawatankuasa telah meneliti dan menyiasat beberapa insiden, yang mana seramai lapan orang pengadil dan penolong pengadil yang didapati melakukan kesilapan itu telah dikenakan tindakan hukuman iaitu diberikan amaran keras (4 orang), digantung tugas selama dua minggu (2 orang) dan digantung tugas untuk satu tempoh yang akan ditetapkan kemudian (2 orang).

Dalam pada itu, pengawai perlawanan dari Malaysia terus mendapat tempat untuk tugasan antarabangsa pada tahun 2020 ini yang mana pengadil, Amirul Izwan Yaacob dan penolong pengadil, Yusri Muhamad telah ditugaskan mengendalikan dua perlawanan Kumpulan C, Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 membabitkan Al-Sadd lwn Al-Ain pada 18 September 2020 dan Al-Duhail lwn Al-Taawoun pada 24 September 2020, kedua-duanya berlangsung di Doha, Qatar.

Bagi perancangan tahun 2021 pula, jawatankuasa akan sekali lagi menilai prestasi keseluruhan pengadil dan penolong pengadil bagi musim 2020 ini selepas berakhirnya saingan TM Piala Malaysia 2020 sebelum menetapkan siapa yang layak untuk bertugas bagi mengendalikan sama ada perlawanan CIMB Liga Super, Liga Premier, Liga M3, Piala Presiden atau Piala Belia bagi musim 2021 nanti, termasuk juga untuk cuba mengetengahkan pengadil-pengadil baharu yang berpotensi.

Jawatankuasa juga berharap agar pasukan-pasukan yang bertanding dapat membuat aduan/bantahan mengikut saluran yang betul iaitu secara rasmi melalui FAM dan bukannya semata-mata menerusi media, bagi memastikan ia dapat diperhalusi dengan sebaiknya.