Home / Lain - Lain / KELONGGARAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT BERI KELEGAAN KEPADA ATLET DAN BEBERAPA PERSATUAN SUKAN

KELONGGARAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT BERI KELEGAAN KEPADA ATLET DAN BEBERAPA PERSATUAN SUKAN

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat memberi sedikit kelonggaran untuk aktiviti sukan tertentu dijalankan di luar kawasan kediaman bermula 4 Mei.

Pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin pada perutusan khas membuka ruang buat pengurusan sukan negara serta atlet-atlet merencana semula semua program yang terencat sebelum ini berikutan penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun kerajaan terus kekal untuk tidak membenarkan sukan yang menghimpunkan penonton dan membabitkan aktiviti sentuhan dijalankan buat waktu ini.

Sekalipun kelonggaran ini lebih kepada aktiviti sukan dan rekreasi agar masyarakat dapat menghirup udara segar dengan menjalankan aktiviti sukan secara terkawal di luar rumah namun ia sedikit sebanyak memberi ruang buat atlet-atlet negara dalam sukan tertentu untuk kembali menjalani latihan sukan masing-masing mengikut program-program yang sudah diatur.

Ini lebih melibatkan atlet-atlet elit yang dalam fasa persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memaklumkan kelonggaran yang diumumkan Perdana Menteri lebih menjurus kepada aktiviti riadah dan rekreasi.

Satu lagi garis panduan akan dikeluarkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) yang lebih jelas kepada atlet negara bagi aspek latihan dan kejurulatihan sukan berprestasi tinggi.

Dengan kelonggaran aktiviti sukan bersyarat MSN bersedia mengatur program latihan atlet yang selaras dengan saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Buat masa ini atlet belum dibenarkan pulang dan menjalani latihan di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil sekalipun aktiviti yang membabitkan sukan outdoor dibenarkan.

Dalam pada itu kelonggaran aktiviti sukan bersyarat ini disambut baik beberapa persatuan sukan negara antaranya Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM).

Sementara itu juga Persatuan Golf Malaysia (MGA) menyambut baik kelonggaran seperti yang diumumkan Perdana Menteri siang tadi.

Menurut Presiden MGA Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor keputusan itu bertepatan dengan aspirasi kelab golf untuk beroperasi semula selepas diarah tutup sejak 18 Mac lalu.

Tambah Tan Sri Mohd Anwar impak implikasi yang terpaksa ditanggung juga amat terkesan termasuk kebajikan caddy yang mengharap upah dan tips harian.

Justeru MGA telah mengeluarkan surat notis pengoperasian dan garis panduan yang berpaksikan kepada penjarakan sosial disamping semua kelab golf harus menandatangani akujanji dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa Industri (MITI) Isnin depan sebelum memulakan operasi.

Selain itu saingan Hoki Piala Sultan Azlan Shah yang ditunda pada September 2020 turut dibatalkan sepenuhnya untuk tahun 2020.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sudah pun dimaklumkan tentang perkara ini dan ia akan dipanjangkan kepada semua pasukan yang mengambil bahagian.

Selain Malaysia, saingan edisi ke-29 turut membabitkan Australia, Kanada, Jepun, Korea Selatan dan Pakistan.

Pada asalnya kejohanan dijangka berlangsung pada 11 hingga 18 April tetapi kemudiannya ditunda kepada 24 September hingga 3 Oktober sebelum keputusan untuk membuat pembatalan dilakukan.