Home / Bola Sepak / KELAYAKAN JUARA-JUARA ASIA (ACL) 2020 : KEDAH LANGKAH KANAN TUNDUKKAN TAI PO FC

KELAYAKAN JUARA-JUARA ASIA (ACL) 2020 : KEDAH LANGKAH KANAN TUNDUKKAN TAI PO FC

Kedah menampilkan aksi bertenaga untuk menewaskan kelab Hong Kong Tai Po FC 5-1 pada pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Darul Aman.

Kemenangan itu sekaligus membolehkan skuad Lang Merah layak beraksi di dalam saingan play-off di Korea Selatan menentang FC Seoul pada 28 Januari ini.

Skuad kendalian Aidil Shahril Sahak tidak menunggu lama bagi menembusi gawang lawan menerusi sentuhan penyudah Tchetche Kipre yang menyempurnakan hantaran kemas seawal minit ke-3 permainan.

Tchetche Kipre menambah gol kedua pada minit ke-21 menerusi hantaran lintang Rizal Ghazali yang gagal ditepis kemas penjaga gol Tai Po.

Pelawat terus tertekan apabila Sun Ming Him di layangkan kad merah pada minit ke-33.

Bagaimanapun Tai Po mendapat peluang terbaik menerusi Chan Man Fai pada minit ke-41 namun percubaannya berjaya dinafikan penjaga gol Kedah Ifwat Akmal.

Seminit selepas bermula babak kedua giliran Hadin Azman menggamatkan suasana stadium Darul Aman dengan gol ketiga Kedah.

Hadin sekali lagi menceriakan penyokong apabila menambah gol keempat Kedah pada minit ke-65 selepas bola gagal dikawal oleh barisan pertahanan Tai Po.

Pelawat cuba bangkit dua minit kemudian apabila berjaya merapatkan kedudukan menerusi pemain tengahnya Chan Man Fai.

Namun menuju tamat perlawanan Tchetche Kipre melengkapkan malam gemilang Kedah bagi gol kelima menyempurnakan hantaran silang Badrul Bakhtiar untuk keputusan 5-1.

Kemenangan itu membolehkan Kedah layak beraksi di Korea Selatan untuk aksi play-off menentang FC Seoul pada Khamis depan.