Home / Bola Sepak / KELANTAN UNITED DAPAT SUNTIKAN PEMAIN JEPUN

KELANTAN UNITED DAPAT SUNTIKAN PEMAIN JEPUN

Kelab bola sepak Kelantan United (KUFC) akan mendapatkan khidmat dua pemain import dari Jepun bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2021.

Presiden KUFC, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata khidmat pemain dari negara matahari terbit itu adalah hasil daripada kerjasama antara kelab berkenaan dan syarikat minuman probiotik, Yakult (M) Sdn Bhd.

“Salah seorang pemain adalah legenda yang pernah beraksi bersama sebuah kelab di Liga Jepun manakala seorang lagi mempunyai pengalaman bermain dengan beberapa pasukan pada saingan Liga M sebelum ini.

“Jalinan kerjasama ini juga membabitkan penajaan persiapan pasukan bagi mengharungi saingan Liga-M 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Che Abdullah turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Urusan Yakult Sdn, Bhd Hiroshi Hamada atas tajaan dua pemain Jepun itu dan berharap kerjasama sedemikian dapat diteruskan demi memajukan bola sepak Malaysia khususnya di Kelantan.

Sebelum ini, Bernama melaporkan KUFC tidak menyambung kontrak pemain importnya, Adil Kouskous dari Maghribi (pertahanan), Alyton Alemeo dari Brazil dan Gassama AlFussainey dari Gambia (tengah).

Sementara itu, Che Abdullah berkata KUFC juga akan menjalinkan kerjasama strategik bersama sebuah lagi syarikat dari Jepun dalam mendapatkan input teknologi sukan bola sepak dan bekerjasama dengan kelab-kelab bola sepak dari negara itu.

“Syarikat itu akan kami umumkan nanti bersama Yakult yang mana mereka turut menjadi sebahagian daripada penajaan KUFC di Liga Malaysia pada musim 2021,” katanya.