Home / Lain - Lain / Kejohanan Memanah Remaja Kebangsaan PNBD 2017 – medan cungkil bakat baru

Kejohanan Memanah Remaja Kebangsaan PNBD 2017 – medan cungkil bakat baru

Logo 1

KOTA SERIEMAS 12 May 2017 : PNB Development Sdn. Berhad (PNBD) dan Persatuan Memanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bekerjasama menganjurkan “Kejohanan Memanah Remaja Kebangsaan PNBD 2017”.  Kejohanan yang julung kali diadakan ini bakal berlangsung di Padang Bola Sepak Laman Cempaka, Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan bermula 12 sehingga 14 Mei ini.

Menariknya, kejohanan kali ini mendapat kerjasama PNBD selaku penaja utama dengan Kota Seriemas dipilih sebagai lokasi kejohanan. Pemilihan lokasi ini mempunyai signifikannya yang tersendiri kerana PNBD merupakan pemilik hartanah perbandaran yang sedang berkembang pesat berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA Sepang.

Kejohanan ini merupakan inisiatif pertama PNBD di dalam menganjurkan sukan memanah, ia sekaligus dapat memberi pendedahan, pendidikan dan promosi kepada komuniti Kota Seriemas.

Mohd Salem Kailany, Ketua Pegawai Eksekutif PNBD

Haji Salem Kailany – Ketua Pegawai Operasi PNBD

“Ini merupakan sumbangan kecil PNBD kepada komuniti sukan memanah dan berharap agar kejohanan ini dapat memberikan satu pembelajaran dan pendedahan mengenai sukan memanah sebagai aktiviti sosial sihat yang boleh diceburi oleh orang ramai”. Itu antara harapan Encik Mohd Salem Kailany, Ketua Pegawai Eksekutif PNBD ketika ditanya mengenai kejohanan tersebut.

Kejohanan Memanah Remaja Kebangsaan PNBD 2017 ini terbuka kepada pelajar sekolah yang berusia di bawah 12 tahun dan 15 tahun lelaki dan perempuan. Penyertaan terbuka kepada pasukan memanah negeri, daerah, kelab, orang perseorangan dan juga pemanah luar negara.

Seramai 256 peserta telah mengesahkan penyertaan. Kejohanan kali ini bakal menyaksikan peserta berentap dalam acara “Recurve” 30 meter berpasukan dan individu untuk lelaki dan wanita.

Juara bakal membawa pulang pingat beserta wang tunai RM300, naib juara RM100 beserta pingat sementara tempat ketiga RM100 dan juga pingat. Pemenang bagi acara berpasukan pula akan pulang dengan pingat dan wang tunai RM900, naib juara RM600 beserta pingat dan RM300 beserta pingat untuk pemenang tempat ketiga.