Home / Bola Sepak / Kejohanan Bola Sepak Perempuan B15 Tahun UEFA – FAM 2019 : Thailand tewaskan Malaysia 2-1

Kejohanan Bola Sepak Perempuan B15 Tahun UEFA – FAM 2019 : Thailand tewaskan Malaysia 2-1

Selepas diaibkan pasukan Finland 15-0 pada perlawanan pembukaan Kejohanan Bola Sepak Perempuan B15 Tahun UEFA – FAM 2019, Malaysia menampilkan peningkatan permainan pada perlawanan kedua.

Meskipun tewas kepada Thailand 2-1, skuad Malaysia mula nampak serasi dan tidak lagi hilang arah seperti aksi pertama.

Beraksi di Stadium UM Arena Universiti Malaya Malaysia tampil lebih meyakinkan dalam penguasaan bola dengan menguasai perlawanan awal namun sukar menembusi kubu lawan.

Sebaliknya Thailand terlebih dahulu mengejutkan anak-anak buah Kok Keng Lin dengan jaringan pembukaan pada minit ke-19.

Tersentak Malaysia bangkit hanya seminit kemudian untuk menyamakan kedudukan menerusi ketua pasukan Nur Mekar Rania Mohd Hazri.

Kekal terikat 1-1 sehingga tamat babak pertama, aksi bersambung menyaksikan Thailand memperolehi sepakan penalti minit ke-70 selepas pertahanan Malaysia melakukan kekasaran terhadap pemain Thailand di dalam kotak penalti.

Mudah buat ketua pasukan menggandakan jaringan buat Thailand kepada 2-1.

Malaysia tidak terus mengalah dengan cuba bangkit dengan aksi yang lebih bertenaga namun usaha mereka tidak membuahkan hasil dan keputusan kekal 2-1 memihak lawan hingga tamat perlawanan.

Malaysia akan bertemu Hong Kong pada perlawanan terakhir Ahad ini sementara Thailand yang sudah merakam dua kemenangan akan berdepan Finland.