Home / Lain - Lain / KBS PERKEMASKAN SOP PEMBUKAAN FASA KELIMA SEKTOR SUKAN DAN REKREASI

KBS PERKEMASKAN SOP PEMBUKAAN FASA KELIMA SEKTOR SUKAN DAN REKREASI

Bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan fasa kelima sektor sukan dan rekreasi, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal melaksanakan beberapa langkah tambahan.

KBS dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini memaklumkan penganjur kejohanan atau pertandingan sukan perlu mendapat kebenaran daripada KBS menerusi Pesuruhjaya Sukan sebelum penganjuran kejohanan berkenaan dapat diadakan.

Penganjur kejohanan atau pertandingan sukan juga perlu bertanggungjawab dan memberikan jaminan bertulis, selain mewujudkan skuad pemantau untuk menasihati pematuhan SOP semasa berlangsungnya sesuatu kejohanan sukan.

KBS turut menegaskan peserta atau petugas sesuatu kejohanan bagi kategori sukan berpasukan dan sukan tempur dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), perlu menjalani ujian swab RTK Antigen, tiga hari sebelum bermulanya sesebuah kejohanan yang diadakan di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Peraturan sama turut diguna pakai sekiranya peserta dari kawasan PKPP menyertai sebarang kejohanan di kawasan PKPB.

Selain itu, KBS turut memaklumkan pengurusan penginapan khusus untuk peserta kejohanan secara ‘quarantine-based’ bakal dilaksanakan untuk kejohanan yang diadakan di dalam kawasan PKPB.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa kebenaran kejohanan dengan penonton adalah tertakluk kepada 10 peratus kapasiti tempat duduk atau 4,000 orang, selain mengambil keluasan sesebuah venue, namun masih tertakluk kepada pengumuman semasa daripada kerajaan.

KBS turut memaklumkan majlis penyampaian hadiah di podium boleh diadakan tanpa melibatkan tetamu dan tanpa pemberi hadiah untuk kejohanan yang diadakan di kawasan PKPB, manakala kebenaran penganjuran aktiviti sukan secara besar-besaran seperti acara larian, berbasikal, marathon dan triathlon, dihadkan sebanyak 500 peserta bagi kawasan PKPP.

KBS menegaskan kebenaran masuk dan keluar peserta warga asing ke negara ini untuk menyertai sebarang kejohanan antarabangsa perlu mendapat pengesahan atau sokongan daripada pihak kementerian, selain kelulusan daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atau One Stop Centre (OSC) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Kebenaran berkenaan, bagaimanapun, masih tertakluk kepada negara-negara yang dibenarkan masuk ke negara ini oleh JIM.

KBS turut menyatakan SOP penganjuran kejohanan antarabangsa, selain prosedur keluar dan masuk atlet warga asing serta atlet tempatan ke kejohanan luar negara, akan dipaparkan di laman web KBS dalam tempoh terdekat.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebelum ini memberi bayangan bahawa pelaksanaan fasa kelima (kehadiran penonton ke stadium dengan skala kecil) dan fasa keenam (kehadiran penonton ke stadium dengan skala besar serta penyertaan atlet luar negara dalam kejohanan tempatan) sektor sukan dan rekreasi akan dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Keputusan berkenaan, bagaimanapun, bergantung kepada situasi semasa pandemik COVID-19.