Home / Lain - Lain / KBS FOKUS DUA FASA TERAKHIR PEMBUKAAN SEKTOR SUKAN

KBS FOKUS DUA FASA TERAKHIR PEMBUKAAN SEKTOR SUKAN

Kebenaran yang diberikan kerajaan membenarkan contact sport termasuk pertandingan dan kejohanan bermula 15 Julai seperti yang diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pastinya kembali merancakkan industri sukan tempatan yang terjejas teruk berikutan penularan Covid-19 sejak 18 Mac lalu.

Dengan pembukaan fasa 3 dan 4 ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini bakal memfokus pula untuk dua fasa terakhir bagi melengkapkan semua 6 fasa pembukaan sektor sukan yang dirancang secara teliti.

Bermula 15 Julai ini sukan yang membabitkan kontak sama ada berpasukan ataupun individu boleh dimainkan semula secara taktikal dan fizikal.

Turut dibenarkan adalah sukan yang berbentuk jentera sama ada dua mahu pun empat roda seperti perlumbaan Petronas Cub Prix.

Selepas kebenaran latihan tanpa contact bermula 15 Jun lalu kebenaran ini cukup dinanti-nantikan semua persatuan sukan berkaitan untuk memulakan latihan dan saingan secara penuh di gelanggang dan padang.

Pembukaan sektor 3 dan 4 ini turut memberi kelegaan dengan kebenaran untuk penganjuran kejohanan dan pertandingan diadakan semula bermula 15 Ogos.

Antaranya adalah Liga Bola Sepak Malaysia (Liga Super & Liga Premier), Liga Hoki Kebangsaan (MHL), Liga Sepaktakraw (STL), Liga Ragbi Kebangsaan (MRL) dan lain-lain pertandingan sukan berkaitan.

Ini tentunya merancakkan kembali industri sukan tanahair yang memang mengharapkan pertandingan sukan-sukan utama di peringkat kebangsaan dapat bersambung semula.

Seterusnya ini dapat menjana semula persatuan, penaja-penaja kejohanan dan industri sukan komersial yang terjejas sepanjang penundaan acara berikutan penularan Covid-19.

Bagaimanapun syarat ketat dan prosedur operasi standard (SOP) tetap dikenakan membabitkan pertandingan dan kejohanan sukan ini.

Antaranya pertandingan hanya dihadkan kepada sukan tempatan sahaja dan dilangsungkan tanpa kehadiran penonton di gelanggang dan stadium.

Penganjur juga mesti memastikan tiada perhimpunan peserta dan orang ramai sepanjang pertandingan berlangsung.

Kejohanan dan pertandingan pula tidak bertaraf antarabangsa serta tidak melibatkan peserta atau atlet luar negara.