Home / Bola Sepak / K.DEVAN SEDIA KEMBALI PACU NEGERI SEMBILAN

K.DEVAN SEDIA KEMBALI PACU NEGERI SEMBILAN

Jurulatih berpengalaman K.Devan yang baharu dilantik sebagai pengendali N.Sembilan bertekad untuk memulihkan kembali skuad Hoben Jang Hoben untuk muncul antara pesaing utama Liga Malaysia musim 2021.

Bagi merealisasikan misi itu Devan kini dalam perancangan merombak sebahagian besar pasukan termasuk pemain tempatan dan import.

Menurut Devan yang kali terakhir membimbing negeri kelahirannya itu pada 2015 mengaku banyak perkara yang perlu dilakukan bagi menghadapi saingan musim depan.

Perancangan utama beliau kini hanya mahu membentuk skuad mantap yang mampu bersaing serta membawa skuad Hoben Jang Hoben naik ke Liga Super pada musim 2022.

Devan yang berusia 53 tahun pernah memang jawatan ketua jurulatih Piala Presiden pada 2001 dan 2002 sebelum memulakan kariernya selaku ketua jurulatih Negeri Sembilan pada 2003 dengan menghadiahkan kejuaraan Piala FA pada tahun yang sama.

Tiga tahun kemudian skuad bimbingannya berjaya merangkul kejuaraan sulung Liga Super edisi 2005/2007. Devan sekali lagi hadir ke Negeri Sembilan pada 2015 namun gagal memberikan impak dan beliau membuat keputusan berhijrah ke Kelantan pada musim 2016.

“Pertama sekali saya mengucapkan terima kasih kepada Tunku Besar Tampin dan seluruh pengursan bola sepak Negeri Sembilan kerana mempertaruhkan kepercayaan buat saya membawa pasukan pada musim depan.

Saya amat teruja kerana sekali lagi berpeluang mengendalikan negeri kelahiran saya kerana Negeri Sembilan juga yang menjulang nama saya sebelum ini”, ujar Devan dengan penuh semangat.

Pada saingan musim ini skuad Hoben Jang Hoben sekadar menamatkan saingan di tangga ke-11 Liga Perdana dan hanya meraih tiga kemenangan daripada sebelas perlawanan.