Home / Lain - Lain / JEPUN WUJUDKAN JAWATANKUASA KHAS TANGANI COVID-19

JEPUN WUJUDKAN JAWATANKUASA KHAS TANGANI COVID-19

Sekalipun penularan wabak Covid-19 masih belum reda di seluruh dunia Jepun masih komited dalam memastikan Sukan Olimpik dan Paralimpik 2020 berlangsung tahun depan.

Dalam satu sesi webinar yang diadakan bersama ketua kontinjen Paralimpik membabitkan 165 buah negara termasuk Malaysia penganjur Tokyo 2020 mengesahkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menangani isu Covid-19.

Menurut presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang juga ketua kontinjen negara Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin tuan rumah Jepun memberi jaminan persiapan Sukan Olimpik dan Paralimpik 2020 akan dilakukan termasuk penyediaan prosedur operasi standard (SOP) bagi negara-negara bertanding.

Sebagai rekod Sukan Paralimpik Tokyo dijadualkan berlangsung pada 25 Ogos hingga 5 September tahun hadapan dengan 22 sukan dipertandingkan dengan penawaran 539 pingat emas di 21 venue sekitar Tokyo.

Setakat ini 9 atlet kebangsaan telah melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo dengan penyertaan 4 atlet dari sukan olahraga, 2 atlet memanah, 2 atlet renang dan 1 atlet Bocca.

MPM menjangkakan beberapa orang lagi atlet akan melayakkan diri ke temasya itu antaranya dari skuad badminton, powerlifting dan berbasikal.

MPM turut menyeru semua atlet para agar meningkatkan intensiti latihan selepas jawatankuasa paralimpik antarabangsa (IPC) mengesahkan tempuh menyertai kelayakan Tokyo 2020 akan berlangsung semula dari Januari hingga Mei 2021.

Pada edisi 2016 di Rio De Janeiro Malaysia menghantar seramai 21 atlet bagi mewakili kontinjen negara yang berjaya membawa pulang 3 pingat emas dan 1 gangsa.