Home / Bola Sepak / JDT unggul dalam kelasnya yang tersendiri

JDT unggul dalam kelasnya yang tersendiri

Foto : Zaid Ayid / SukanMalaysiaDotMY

Liga bola sepak tempatan akhirnya melabuhkan tirai dengan menobatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pasukan paling berjaya musim 2019.

Harimau Selatan membaham Lang Merah 3-0 dalam perhitungan penentuan juara Piala Malaysia 2019 untuk menjulang trofi ketiga selepas turut mengungguli Liga Super dan Piala Sumbangsih.

Stadium Nasional Bukit Jalil dibanjiri lebih 80,000 penyokong ketika Kedah dan Johor Darul Ta’zim berentap memburu trofi terakhir musim ini Piala Malaysia yang memasuki edisi ke-93.

JDT lebih bijak memanfaatkan kesempatan apabila cepat menyesuaikan diri dengan keadaan permainan membolehkan mereka menguji kubu lawan diawal permainan.

Foto : Zaid Ayid / SukanMalaysiaDotMY

Beberapa kali mencuba gerakan pemain yang baru dimasukkan Mohd Stafiq Ahmad kemudian disambung Gonzalo Gabrera sebelum disudahkan Learndo Velasques bagi membuka jaringan minit ke-27 sekaligus menceriakan penyokong merah biru.

Lapan minit berselang JDT sekali lagi menggandakan kedudukan kali ini menerusi sepakan percuma yang diambil oleh Mohd Sapawi Rasyid. Percubaan lencong tersebut singgah di palang gol terlebih dahulu kemudian di lihat memasuki gawang sebelum berjaya dikeluarkan.

Foto : Zaid Ayid / SukanMalaysiaDotMY

Namun pengadil perlawanan Mohd Nazmi Nasirudin bertindak mengesahkannya sebagai jaringan walaupun cuba dibantah Kedah.

Mendahului 2-0 dan mendominasi permainan di separuh pertama JDT tidak membenarkan Lang Merah bangkit selepas rehat.

Minit ke-58 Mohd Afiq Fazail membuat umpanan cantik yang disempurnakan oleh Mohd Shafiq Ahmad untuk gol ketiga perlawanan.

Kedah terus gagal mencari kelemahan JDT sekaligus tidak terdaya mengubah keadaan.

Foto : Zaid Ayid / SukanMalaysiaDotMY

Kedudukan 3-0 di penghujung permainan sehingga wisel penamat ditiup membolehkan skuad bimbingan Benjamin Mora mengulangi kejayaan jurulatih terdahulu pada t ahun 2017 dengan menewaskan lawan yang sama seterusnya membawa pulang trofi Piala Malaysia ke selatan tanahair buat kali keempat.

Apa pun kem JDT menyifatkan kejayaan itu sebagai perancangan yang menjadi kenyataan dan tiada istilah berpuas hati gelaran juara yang dipegang Harimau Selatan mahu terus dijadikan motivasi untuk melebarkan lagi penguasaan selepas ini.

Kedah terus akur dengan kemenangan lawan dan mengakui kekurangan yang dihadapi menyebabkan mereka gagal memberikan saingan.