Home / Bola Sepak / JDT sasar hatrik Liga Super !

JDT sasar hatrik Liga Super !

Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dalam sidang media di Johor Bahru. Gambar oleh Saluddin Ismail / Sukan Malaysia

Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dalam sidang media di Johor Bahru. Gambar oleh Saluddin Ismail / Sukan Malaysia

JOHOR BAHRU 27 Januari 2016 : Juara Piala AFC dan Juara Liga Super 2015, Johor Darul Takzim (JDT) mensasarkan untuk menjadi pasukan pertama mencipta hatrik menjuarai Liga Super dalam sejarah bolasepak di Malaysia.

Dalam wawancara bersama DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berkata walaupun menyedari pasukan JDT masih belum sempurna dari segi persiapan pemain, namun beliau optimis dengan perancangan rapi yang diadakan bersama barisan kejurulatihan, JDT akan mengapai sasaran yang ditetapkan itu.

Ternyata kecewa dengan perlawanan pra-musim, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim meluahkan perasaan tidak puas hati baginda namun sedar faktor kecergasan dan kordinasi pemain merupakan faktor kepada beberapa kelemahan. Justeru beliau  memberi amaran kepada semua pemain bahawa kedudukan mereka masih belum selamat dan beberapa perubahan akan dilakukan bersama dengan jurulatih Mario Gomez, termasuk membawa masuk beberapa pemain baru termasuk pemain import.

“Saya belum membuat senarai akhir pemain kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim meskipun pasukan lain kebanyakannya telah mengeluarkan senarai akhir nama pemain mereka. Mungkin akan ada beberapa perubahan sedikit, tunggulah dalam dua atau tiga minggu lagi (untuk pengumuman nama-nama pemain JDT)” – ujar beliau.

20160127073116

Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim. Gambar oleh Saluddin Ismail / Sukan Malaysia

Dalam sidang media yang sama, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim turut mengumumkan perancangan beliau untuk membangunkan Bandar Sukan JDT. 35 ekar dari 70 ekar tanah dari kerajaan negeri diperuntukkan untuk pembinaan stadium baru di Nusajaya dan selebihnya untuk projek Bandar Sukan JDT yang merangkumi hotel, apartment, pusat membeli-belah, padang ragbi, tenis, futsal dan lain-lain jenis sukan yang menelan kos hampir RM180-200 juta.

Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim turut memaklumkan nama stadium baru adalah Stadium Sultan Ibrahim Larkin kerana beliau sayang dengan nama Larkin.

“Apabila stadium berkenaan sudah siap, JDT II akan bermain di Stadium Larkin (sekarang ini), manakala JDT III dan IV akan berada di Pasir Gudang, dan kita akan menggunakan stadium baru itu untuk pasukan utama”- ujar Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Sumber : Johor Southern Tigers.