Home / Bola Sepak / JDT DINOBATKAN KELAB TERBAIK PIALA AFC SEPANJANG DEKAD

JDT DINOBATKAN KELAB TERBAIK PIALA AFC SEPANJANG DEKAD

Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih suntikan moral terbaik menjelang saingan Liga Malaysia musim 2020 apabila memenangi gelaran kelab sepanjang dekad Piala AFC melalui undian yang diadakan di laman sesawang Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

JDT telah menerima 80% undian peminat berbanding empat kelab pesaing lain pada sesi undian yang dibuka sejak 3 Februari lalu dan berakhir jam 12.00 tengahari Ahad.

Pencapaian JDT selaku juara Piala AFC 2015 berjaya menambat hati peminat bola sepak Asia yang memuktamadkan pilihan mereka.

80% undian yang diterima membolehkan JDT diiktiraf kelab cemerlang sepanjang dekat Piala AFC mengetepikan empat pencabar lain iaitu Air Force Club (12 peratus), Qadsia SC (6 peratus), Kuwait SC (2 peratus) dan Al-Ahed (1 peratus).

Sebagai rekod, JDT mencipta sejarah apabila mengungguli Piala AFC 2015 apabila menjadi pasukan pertama daripada Zon Timur menjuarai saingan terbabit.

Dalam edisi 2015 menyaksikan JDT muncul juara Kumpulan F sebelum mengetepikan Ayeyawady United (Myanmar) dan South China SC (Hong Kong) di peringkat kalah mati.

Mereka bertemu Qadsia SC di separuh akhir namun Persatuan Bolasepak Kuwait berdepan penggantungan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekali gus membolehkan mereka mara ke final bertemu wakil Tajikistan, FC Istiklol di Stadium Pamir, Dushanbe.

Bagaimanapun, jaringan tunggal Leandro Velazquez sudah cukup untuk JDT merangkul gelaran terbabit dan mencipta sejarah dalam saingan Piala AFC.