Home / Bola Sepak / JDT CIPTA HATRIK RAIH KEJUARAAN PIALA SUMBANGSIH

JDT CIPTA HATRIK RAIH KEJUARAAN PIALA SUMBANGSIH

Foto : Emmer Farid

Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya meraih gelaran juara Piala Sumbangsih buat kali ketiga berturut-turut.

Kejayaan menundukkan Kedah dengan jaringan 1-0 itu cukup manis buat skuad kendalian Benjamin Mora bagi menjulang trofi sulung bagi musim 2020 di stadium baharu Stadium Sultan Ibrahim.

Kemenangan ini juga bermakna JDT berjaya mengutip tiga mata penuh dalam saingan Liga Super sekaligus memberi petanda awal kelab dari selatan tanahair itu mahu terus mendominasi saingan elit bola sepak negara ketika ini.

Pertembungan JDT-Kedah bagi merebut Piala Sumbangsih memang dinantikan peminat bola sepak tanahair sebagai penanda bermulanya Liga Bola Sepak Malaysia bagi musim 2020.

Pada aksi di venue baharu Stadium Sultan Ibrahim nyata tidak menggentarkan pasukan pelawat Kedah yang mengasak sejak dari awal lagi.

Foto : Emmer Farid

Selepas serangan ke pintu gol oleh Hadin Azman percubaan Badrol Baktiar pula tersasar.

Kedah terus kempunan apabila sepakan percuma Badrol gagal memecah gawang tuan rumah.

Minit ke-36 barulah JDT mula mempamerkan taring menerusi percubaan Gonzalo Cabrera namun berjaya ditepis oleh Ifwat Akmal di gawang Kedah.

Bagaimanapun gandingan dua pemain import Kedah Tchche Kipre dan Kpah Sherman tetap berjaya menggusarkan pertahanan JDT.

Sehinggalah di hujung babak pertama hantaran Cabrera berjaya disambar Mauricio Nascimento yang menanduk masuk gol sulung perlawanan.

Foto : Emmer Farid

Pertarungan sengit terus disajikan kedua-dua pasukan pada babak kedua namun segala usaha yang dilakukan Kedah gagal untuk diterjemahkan kepada gol.

Kekal 1-0 tamat sepenuh masa Kedah terpaksa akur terlepas tiga mata berharga sebaliknya pesta buat JDT yang meraikan kejuaraan hatrik Piala Sumbangsih di hadapan penyokong sendiri.

Foto : Emmer Farid