Home / Lain - Lain / Jasni terajui Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)

Jasni terajui Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)

Barisan kepimpinan SAM bagi penggal 2018-2020. Tiada dalam gambar Timbalan Presiden, Asan Ahmad.  Gambar Nor Azmi © SukanMalaysiaDotMY


Oleh :
Ismadi Manap
PETALING JAYA 9 Jun 2018 
: Pengulas sukan, Jasni Shafie menerajui Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia apabila menang tanpa bertanding jawatan Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) pada mesyuarat agung dwitahunan SAM bagi penggal 2018-2020 yang berlangsung di Shah Village Hotel, Petaling Jaya.

Jasni yang merupakan pengulas sukan sambilan Radio Televisyen Malaysia (RTM), menggantikan Naib Presiden Kanan Berita dan Majalah Astro Arena, Ahmad Khawari Mohd Isa yang memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan presiden yang disandangnya sejak lima penggal lepas.

Pengarang Sukan Kosmo, Asan Ahmad pula mengekalkan jawatan Timbalan Presiden SAM selepas menerima 48 undi berbanding pencabarnya, penolong editor sukan New Straits Times, Ajitpal Singh yang meraih 24 undi daripada 72 anggota SAM yang mengundi.

Penerbit rancangan RTM, Norismadi Abdul Manap dan Pengurus Foto Kumpulan Media Karangkraf, Izahar Atan juga kekal sebagai Naib Presiden SAM dan Ahmed Faisal Jamal kekal sebagai Setiausaha SAM apabila ketiga-tiga mereka tidak dicabar untuk jawatan masing-masing.

Ketua Meja Sukan Bernama, Farhanah Azmi pula dipilih sebagai Bendahari selepas meraih 42 undi berbanding pencabarnya, Aida Adillah Mat daripada Harian Metro yang memperoleh 30 undi.

Sementara itu personaliti Astro Arena, Hafizal Hamad merupakan satu-satunya Ahli Exco yang masih kekal dalam senarai exco baru yang terpilih. Hafizal bersama-sama Ku Mohd Lufti Ku Yahya dari Sports 247, Ahmad Fazli Mohd Yadi daripada akhbar Kosmo, Zuriati Zulmi dari Bernama  dan Hazreen Nor Mubarak dari TV3 merupakan antara lima individu yang dilantik sebagai anggota exco SAM setelah menerima undian tertinggi daripada 7 calon yang bertanding untuk merebut jawatan exco.

Barisan Exco SAM 2018-2020:

Presiden: Jasnie Shafie (menang tanpa bertanding)

Timbalan Presiden: Asan Ahmad

Naib Presiden: Norismadi Abdul Manap dan Izahar Atan (menang tanpa bertanding)

Setiausaha: Ahmed Faisal Jamal (menang tanpa bertanding)

Bendahari: Farhanah Azmi

Exco: Zuriati Zulmi, Mohd Hafizal Hamad, Mohd Hazreen Nor Mubarak, Ku Mohd Lufti Ku Yahya dan Ahmad Fazli Mohd Yadi.