Home / Lain - Lain / JAGUH DUNIA BERSAING REBUT ANUGERAH ATLET TERBAIK ANUGERAH SAM – 100PLUS 2018

JAGUH DUNIA BERSAING REBUT ANUGERAH ATLET TERBAIK ANUGERAH SAM – 100PLUS 2018

KUALA LUMPUR, 20 Mac 2019 – Ratu terjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong antara lima atlet yang disenarai pendek bagi merebut Anugerah Atlet Terbaik di anugerah Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM) – 100PLUS 2018.

Majlis anugerah ini dijadual berlangsung pada 10 April 2019 di Petaling Jaya di mana edisi kali ini sedikit berbeza kerana tahun ini bakal menandakan detik manis dan bersejarah bersempena ulang tahun ke-50 SAM yang telah ditubuhkan pada tahun 1969.

Kejayaan meraih pingat emas di Sukan Komanwel Gold Coast, Australia menerusi acara terjun seirama 10 meter platform serta empat pingat ketika beraksi di Kejohanan Terjun Siri Dunia dimana satu emas ketika di Kanada, satu pingat perak ketika di China dan dua pingat gangsa ketika beraksi di Jepun.

Namun, saingan tampak kompetitif kerana Pandelela dan Jun Hoong bakal berdepan saingan melibatkan jaguh jaguh dunia daripada sukan lain.

Atlet muda dalam pembikinan, Muhd Rafiq Ismail antara yang turut tercalon susulan pencapaian cemerlang sepanjang 2018.

Rafiq meraih pingat emas dalam acara Master Lelaki disusuli pingat perak menerusi acara Trio Lelaki dimana beliau bergandingan dengan Ahmad Muaz Mohd Fishol dan Timmy Tan ketika di Sukan Asia yang berlangsung di Indonesia.

Kejayaannya tidak terhenti di Sukan Asia, Rafiq turut menyerlah di pentas dunia apabila muncul juara di Kejohanan Boling Lelaki Dunia yang berlangsung di Hong Kong.

Selain Jun Hoong, Pandelela dan Rafiq ratu gimrama, Amy Kwan Dick Weng, jaguh trek negara, Muhd Azizul Hasni Awang dan Mohamad Hazim Amzad dari sukan pencak silat turut tercalon bagi anugerah Atlet Terbaik 2018.

Sementara itu, empat atlet para negara disenarai bagi Anugerah Atlet Para Terbaik 2018.

Tiga daripadanya merupakan atlet daripada sukan olahraga iaitu,Abdul Latiff Romly, Muhd Ziyad Zolkefli dan Mohd Ridzuan Mohamad Puzi.

Sementara atlet daripada sukan powerlifting, Bonnie Bunyau Anak Gustin melengkapkan senarai calon atlet bagi anugerah ini.

Pencapaian terbaik Muhammad Ziyad,jaguh lontar peluru lelaki F20, adalah ketika di Sukan Para Asia 2018 di Jakarta dimana beliau meraih pingat emas dalam acara lontar peluru.

Manakala Abdul Latif pula berjaya memperbaharui rekod dunia dalam acara lompat jauh T20 dengan catatan 7.64 meter sekaligus memadamkan rekod terdahulu miliknya sendiri, 7.60 meter yang dilakar ketika di Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Jaguh pecut para negara, Mohd Ridzuan Mohd Puzi pastinya menjadi tumpuan ketika di Sukan Asia 2018 dimana tiga pingat emas berjaya diraih selain memperbaharui dua rekod.

Ridzuan Puzi meraih emas dalam acara 100 meter T36 dengan catatan masa 11.87 saat memadamkan rekod dunia 11.90 saat yang dicatat atlet dari Rusia, Evgenii Shvetcov ketika beraksi di Kejohanan Paralimpik Dunia (IPC) di Lyon Perancis pada 2013.

Malah, beliau turut berjaya meraih pingat emas sekaligus memperbaharui rekod kejohanan Sukan Asia dalam acara lompat jauh T36 dengan lompatan sejauh 5.59 meter, memadamkan rekod lama yang dipegang atlet China, Yang Yi Fei 5.54 meter ketika di Sukan Asia pada 2016.

Emas ketiga milik Ridzuan diraih menerusi acara 400 meter T36 sekaligus dinobat sebagai Atlet Para Lelaki Terbaik Asia 2018.

Pemenang kedua-dua anugerah utama ini akan menerima hadiah wang tunai RM 10 000 dan sebuah trofi.

SAM juga memberi pengiktirafan kepada Pasukan Terbaik 2018 serta Anugerah Khas Sepanjang Hayat kepada Penaung Diraja SAM, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah atas sumbangan besar baginda kepada sukan negara, khususnya bola sepak.

Selain memberi pengiktirafan kepada atlet yang mencapai kejayaan cemerlang sepanjang 2018, wartawan sukan juga turut menerima pengiktirafan sekaligus berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM 50 000 di majlis Anugerah SAM-100PLUS kali ini.

Anugerah di bahagi kepada enam kategori;– Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM RM 7000 beserta trofi.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alalallah Sultan Iskandar Al-Haj telah mengampuni perkenan untuk berangkat ke Majlis Anugerah Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM) – 100PLUS 2018.

Kehadiran Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong jelas sekali memberi makna tersendiri buat SAM di tambah penglibatan baginda sendiri yang cukup aktif dalam arena sukan di Malaysia amnya.

Jelas Presiden SAM, Jasni Shafie, barisan Exco SAM yang mewakili warga wartawan sukan pastinya mahu menyediakan pengalaman dan kenangan yang manis kepada Bawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah serta Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah sekaligus membuktikan SAM adalah sebuah persatuan yang amat dihormati dan dihargai.

“SAM amat menyanjung tinggi dan menjunjung kasih atas kesudian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mencemar duli untuk menghadiri majlis ini. Ia suatu pengiktirafan sangat bermakna dalam kewartawan sukan, apatah lagi di majlis SAM yang sudah mencecah usia 50 tahun,’’ katanya.

Anugerah ini juga tidak akan berjaya tanpa penglibatan daripada rakan kongsi yang terus setia dan komited dalam membantu SAM untuk memastikan majlis anugerah Persatuan Penulis Penulis Sukan terus cemerlang saban tahun.

Inilah peranan yang diberikan syarikat pengeluar minuman isotonik terkemuka Malaysia 100PLUS yang terus komited untuk menjadi rakan kongsi utama majlis anugerah ini.

“Kami berbesar hati untuk menyokong SAM dan majlis anugerah tahun ini. Ianya juga lebih bermakna dengan usia SAM sudah menjangkau 50 tahun dan keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang merupakan peminat sukan nombor satu negara,” kata Pengarah Pemasaran F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Graham Lim.

Sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia diatas sokongan berterusan terhadap 100PLUS, jenama nombor satu minuman isotonic itu bersama SAM mengadakan suatu anugerah khas yang dikenali sebagai Anugerah Khas Penyokong 100PLUS.

Anugerah ini memberi peluang kepada peminat sukan di Malaysia untuk menjadi juri bagi menentukan sipakan yang layak menerima anugerah khas tersebut.

Seramai 15 calon telah disenaraikan melibatkan atlet individu atau pasukan kebangsaan yang telah mempamer aksi cemerlang sepanjang 2018.

Peminat hanya perlu lawati laman sosial facebook 100PLUS, https://www.facebook.com/my100plus/ untuk mengundi di atas talian sekaligus menentukan siapakah pemenang tersebut.

Undian akan bemula dari 25 Mac 2019 dan ditutup pada 7 April 2019.

Antara tumpuan bagi majlis anugerah ini adalah perebutan bagi Anugerah Atlet Terbaik yang membariskan atlet atlet terbaik Malaysia yang berjaya melakar nama di arena tempatan dan antarabangsa sepanjang tahun 2018.

SENARAI ATLET TERBAIK SAM:

1995 – Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (badminton)

1996 – Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (badminton)

1997 – Nurul Huda Baharin (menembak)

1998 – Lim KengLiat (renang)

1999-2001 – TiadaAnugerah

2002 – Lim Keng Liat (renang) danS.Premila (karate-do)

2003 – Lim Keng Liat (renang)

2004 – Bryan Nikson Lomas (terjun)

2005 – Nicol Ann David (skuasy)

2006 – Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (badminton)

2007 – Wong Mew Choo (badminton)

2008 – Lee Chong Wei (badminton)

2009 – Mohd Azizul Hasni Awang (berbasikal)

2010 – Pandelela Rinong (terjun)

2011 – Nur Suryani Taibi (menembak)

2012 – Pandelela Rinong (terjun)

2013 – Sazali Samad (binabadan)

2014 – Nicol Ann David (skuasy)

2015 – Pandelela Rinong (terjun)

2016 – Lee Chong Wei (badminton)

2017 – Mohd Azizul Hasni Awang (berbasikal trek)

ATLET PARALIMPIK TERBAIK SAM:

2016 – Mohd Ridzuan Mohd Puzi (olahraga)

2017 – Muhd Ziyad Zolkefli (olahraga)