Home / Lain - Lain / #ISTAF2015 – Malaysia kecundang di tangan Thailand

#ISTAF2015 – Malaysia kecundang di tangan Thailand

Barisan pemain negara terdiri daripada Khairol Zaman, Farhan Adam dan Syahir Rosdi.

Barisan pemain negara terdiri daripada Khairol Zaman, Farhan Adam dan Syahir Rosdi.

Nakhon Pathom, 23 Oktober 2015 : Hasrat pasukan sepaktakraw Malaysia untuk bergelar juara Kejohanan Sepak Takraw Siri Super Akhir ISTAF 2015 tidak kesampaian apabila tumpas 22-20 dan 21-14 kepada pasukan Thailand dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Gimnasium Perbandaran Nakhon Pathom, Thailand petang tadi.

Pasukan negara bermula garang apabila menampilkan permainan bertahan dan menyerang yang kemas sehingga pada satu ketika mendahului pada 19-17, namun kegagalan barisan pemain Malaysia mengawal permainan walaupun terlebih dahulu mendapat mata akhir, dan melakukan kesilapan disaat-saat akhir, memberikan kemenangan kepada Thailand pada set pertama.

Pada set kedua, pasukan Malaysia bermula agak perlahan, namun anak buah Abdul Talib Ahmad bangkit untuk memungut mata sehingga berjaya mengikat lawan pada angka 8. Namun apabila permainan semakin sengit, tekong negara, Muhammad Syahir Mohd Rosdi mulai goyah sehingga kerap memberikan mata mudah kepada lawan.

Selepas ketinggalan 16-9, Malaysia menukar strategi permainan dengan cuba mempertaruhkan tekong Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi, namun kemasukkan Aizat tidak membantu malah servis yang dilakukannya terlalu mudah untuk diambil oleh barisan pemain Thailand sehingga mudah menewaskan Malaysia dengan mata 21-14.

Tempat ketiga menjadi milik Filipina selepas menundukkan Jepun 2-0.

Pasukan wanita Thailand turut bergelar juara selepas mudah meratah Myanmar 21-6, 21-19.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*