Home / Golf / Ipoh destinasi Piala Causeway 2020

Ipoh destinasi Piala Causeway 2020

Pemain Malaysia dan Singapura bergambar bersama kain rentang ‘See You In Ipoh 2020’ selepas selesai kejohanan Piala Causeway di Kelab Golf Sentosa, Singapura.

SENTOSA, 11 September 2019 : Bandaraya Ipoh akan menjadi destinasi Kejohanan Golf Piala Causeway edisi ke-13 pada tahun hadapan.

Kerajaan negeri Perak bersama Lembaga Pengalakkan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) telah memberi persetujuan untuk menjadi penaja bersama bagi menjayakan kejohanan Piala Causeway yang menemukan pasukan Media Malaysia dan Media Singapura.

Perkara itu diumumkan oleh ketua pasukan Media Malaysia, Arep Kulal sejurus selepas pasukan Malaysia berjaya mempertahankan piala Causeway untuk tahun keempat berturut-turut selepas mengikat pasukan Media Singapura dengan keputusan 14-14, di Kelab Golf Sentosa, Singapura kelmarin. 

“Selain dari bertanding, kami yakin usaha kami ini dapat membantu mempromosikan Perak dan Bandaraya Ipoh kepada rakan2 media di Singapura sempena Tahun Melawat Perak pada tahun hadapan. Kerjasama yang diberi oleh Kerajaan Negeri Perak dan Tourism Malaysia juga antara faktor utama mengapa kami memilih Bandaraya Ipoh” ujar Arep Kulal.  

Sementara itu pengasas Piala Causeway, Jonathan Ponniah mengumumkan Arep Kulal akan kekal sebagai Ketua Pasukan Media Malaysia untuk tahun 2020. Ini juga merupakan permulaan bagi sistem pergiliran 2 tahun ketua pasukan Media Malaysia. Tempoh 2 tahun  membolehkan ketua pasukan menumpukan persiapan dan pengurusan pasukan dengan lebih baik apabila bermain di tempat lawan dan di tempat sendiri. 

“Sistem pengiliran 2 tahun ini dilihat lebih adil buat seorang ketua pasukan yang dilantik. Bukan mudah untuk menguruskan pasukan ke Singapura tetapi ianya berbeza apabila kita bermain sebagai Tuan Rumah. Oleh itu kami merasakan perlu untuk memulakan sistem pengiliran ini bagi membolehkan seorang ketua pasukan menguruskan pasukan dengan lebih baik” ujar Jonathan. 

Piala Causeway yang bermula sejak tahun 2008 merupakan medan persaingan rakan-rakan media dari Malaysia dan Singapura dalam sukan golf. Tuan rumah dibuat secara bergilir-gilir setiap tahun. Malaysia telah memenangi piala tersebut sebanyak 8 kali dan Singapura 4 kali.