Home / Badminton / Ibarat ‘Tragedi All England 2012’ – Kecederaan buat Chong Wei kecewa lagi

Ibarat ‘Tragedi All England 2012’ – Kecederaan buat Chong Wei kecewa lagi

GUANGZHOU, 11 Ogos – Kecederaan sekali lagi mengecewakan Datuk Lee Chong Wei untuk merangkul kejuaraan di Kejohanan Badminton Dunia apabila sekali lagi terpaksa menyerah kalah kepada seteru utamanya Lin Dan dari China, dalam perlawanan akhir badminton lelaki di Tianhe Gymnasium, Guangzhou, China.
Chong Wei menamatkan permainan akibat kecederaan

Chong Wei menamatkan permainan akibat kecederaan

 
Walaupun berkeyakinan tinggi untuk muncul juara dan diletakkan sebagai pemain pilihan pertama kejohanan, ‘Tragedi ALL England 2012’ berlaku lagi, apabila Chong Wei sekali lagi terpaksa menyerah kalah kepada Lin Dan pada perlawanan akhir akibat kecederaan. 
 
Pada awal set pertama perlawanan, Chong Wei  dilihat sedikit berhati-hati dan mengawal permainan. Beberapa kesilapan kecil dilakukan oleh Chong Wei hingga menyebabkan beliau ketinggalan pada mata 3-8. Perubahan strategi permainan kepada menyerang dan pengawalan baik setiap sudut gelanggang membolehkan Chong Wei memungut mata demi mata sehingga berjaya mendahuli Lin Dan buat pertama kali di kedudukan 15-13. Chong Wei terus mendominasi permainan beliau sehingga menamatkan permainan set pertama dengan mata 21-16.
 
Bermulanya set kedua perlawanan, Chong Wei kelihatan hilang punca. Beberapa kesilapan menduga keadaan bulu tangkis membolehkan Lin Dan memperolehi mata demi mata dengan mudah. Beberapa keputusan pengadil garisan yang tidak menyebelahi Chong Wei, juga sedikit sebanyak menggugat konsentrasi Chong Wei sehingga membolehkan Lin Dan mendahului sehingga kedudukan 11-1. Chong Wei cuba bangkit selepas itu, namun Lin Dan tidak memberi sebarang ruang kepada Chong Wei untuk mengawal permainan. Lin Dan terus agresif untuk menamatkan set kedua perlawanan dengan mata 21-13.
 
Set ketiga Chong Wei tampil dengan gaya permainan yang lebih meyakinkan. Pukulan ke baseline dan smash tajam serta ketepatan menduga kedudukan keluar dan masuk bulu tangkis membolehkan Chong Wei mendominasi peringkat awal permainan dengan mendahului pada kedudukan 10-3. Namun kebangkitan Lin Dan pada pertengahan permainan, memberi tekanan demi tekanan kepada Chong Wei untuk melakukan beberapa kesilapan dari permainan di jaring. Lin Dan terus bangkit untuk mendahului pada kedudukan 15-11. Lin Dan terus agresif dengan melakukan serangan demi serangan ke atas Chong Wei untuk terus menguasai permainan sehingga ke mata 19-16, sebelum Chong Wei terduduk mengalami kecederaan di pangkal pahanya. Chong Wei cuba bertahan dan bermain selepas mendapatkan rawatan dari doktor perubatan, tetapi pergerakkan beliau terbatas akibat kecederaan tersebut sehingga memaksa beliau menamatkan permainan beliau pada kedudukan 17-20, seterusnya memberi kemenangan kepada Lin Dan untuk muncul juara. 
 
 

Leave a Reply