Home / Lain - Lain / HONG KONG DAN SINGAPURA TARIK DIRI SERTAI KEJOHANAN RAGBI MCKK PREMIER 7S 2020

HONG KONG DAN SINGAPURA TARIK DIRI SERTAI KEJOHANAN RAGBI MCKK PREMIER 7S 2020

Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s edisi ke-10 akan tetap berlangsung dari 28 Februari hingga 1 Mac depan walaupun terdapat kebimbangan penularan wabak Novel Coronavirus.

Setakat ini dua pasukan daripada Hong Kong dan Singapura mengambil keputusan menarik diri pada saat akhir namun saingan dijangka tetap sengit dengan penampilan 21 pasukan tempatan dan 3 dari luar negara yang sudah pun mengesahkan penyertaan.

Sidang media Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s turut dihadiri presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Kejohanan yang bakal diadakan di Kuala Kangsar Perak ini dianggap sebagai pertandingan ragbi 7 sebelah berprestij peringkat sekolah kerana telah banyak melahirkan dan mencungkil bakat baharu untuk sukan ragbi tempatan.

Namun ketiadaan Hong Kong dan Singapura pada edisi kali ini sedikit merencatkan kemeriahan.

Namun pengarah kejohanan Abd Hazali Hamidun berkata penampilan tiga lagi pasukan Asia Tenggara iaitu dari Thailand, Brunei dan Indonesia selain 21 pasukan dalam negara tetap menjanjikan saingan menarik bagi edisi ke-10 ini.

Setiap tahun penganjur menjemput 10 pasukan luar negara dan pada awalnya 5 pasukan telah mengesahkan penyertaan.

Tumpuan kepada pasukan-pasukan tempatan termasuk juara bertahan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor dan penyertaan pasukan utama lain seperti Maktab Tentera Diraja, Victory Institution, Maktab Sultan Abu Bakar Johor selain Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, SMK Seri Mersing dan tuan rumah MCKK juga perlu diberikan perhatian.