Home / Hoki / Hoki Piala Sultan Johor 2019 : Malaysia duduki tempat ketiga

Hoki Piala Sultan Johor 2019 : Malaysia duduki tempat ketiga

Skuad hoki remaja kebangsaan menamatkan kempen Piala Sultan Johor di tempat ketiga selepas menundukkan Jepun 3-2 pada perlawanan penentuan klasifikasi 3/4.

Kejayaan ini turut mengakhiri kemarau skuad negara untuk menaiki podium selepas kali terakhir mencatat keputusan sama pada 2015.

Selepas kekalahan kepada Malaysia pada perlawanan peringkat kumpulan, Jepun berpeluang untuk membalas dendam apabila kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi pada penentuan klasifikasi 3/4.

Bagaimana pun aksi bertenaga disajikan Malaysia pada suku pertama dengan Mohamad Akhimullah Anuar Esook membuka jaringan menerusi gol pada minit ke-14.

Tiga minit sebaik suku kedua bersambung Malaysia menggandakan jaringan kali ini menerusi sentuhan Adam Aiman Mamat.

Minit ke-23 Jepun akhirnya lega selepas Riku Tamura mendapatkan kedudukan 2-1 menerusi jaringan sudut penalti.

Memasuki suku ketiga Malaysia terus tampil kemas mencipta jaringan ketiga hasil percubaan Muhammad Shafiq Hassan pada minit ke-37.

Walaupun Jepun berjaya menjadikan kedudukan 3-2 pada minit ke-37 menerusi Keigo Tamura, agak terlewat buat pasukan kendalian Koichi Nagaya itu untuk sekurang-kurangnya mengheret permainan ke penentuan shoot out.