Home / Bola Sepak / #HarimauMalaya : Kesungguhan, Keinginan dan Keserasian

#HarimauMalaya : Kesungguhan, Keinginan dan Keserasian

Jurulatih Harimau Malaya, Tan Chen Hoe

OLEH : HISYAM RAHMAN
Mungkin artikel ini agak lewat kerana waktu ini peminat mungkin tidak lagi bercakap mengenai pasukan Harimau Malaya dikala tumpuan diberikan kepada pasukan kelab masing-masing. Namun kejayaan pasukan Harimau Malaya dalam perlawanan terakhirnya sudah pasti menimbulkan aura pengharapan buat skuad bolasepak negara.

Jurulatih, Tan Cheng Hoe hanya menunggu perlawanan ketiga bagi  mencipta kemenangan untuk pasukan bimbingannya.  Tanpa 12 pemain bintang, di saat Presiden melepaskan jawatan, tatkala peminat mempertikaikan keputusan seri dengan pasukan Mongolia, Tan Cheng Hoe tetap fokus meneruskan tugasnya sebagai jurulatih hanya untuk meraih keputusan positif bertemu Bhutan.

Biarpun ada yang mempertikaikan kemenangan ini dengan melabelkan Bhutan pasukan belasahan yang dibarisi pelajar, Tan Cheng Hoe tetap serius dan turun dengan barisan pemainnya yang hampir-hampir mengikat Lubnan dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia, dengan misi memburu kemenangan.  Pada beliau menang tetap objektifnya.

Memang tidak dinafikan, Bhutan pasukan semi pro, begitu juga Mongolia, dan hakikatnya yang perlu dipelajari oleh setiap pemain, jika tiada kesungguhan, keinginan dan keserasian dalam perlawanan, maka kemenangan itu belum tentu dapat dijelmakan walaupun pasukan yang kita lawan itu tahap amatur.  Dan dengan itu setiap individu dalam pasukan kebangsaan perlu sedar betapa pentingnya  persiapan rapi apabila menghadapi sesuatu perlawanan, dan bukan sekadar melengkapkan kalendar tahunan atau bermain kerana sudah dipanggil ke kem kebangsaan.

Dalam sidang Media selepas perlawanan Ahad 1 April 2018 yang lalu, pertanyaan tentang apakah yang diterapkan kepada pasukan oleh jurulatih kerana kali ini pemain nampak lebih bertenaga berbanding bertemu Mongolia biarpun datang dari kelab yg berbeza, Tan Cheng Hoe menjelaskan, beliau memberitahu kepada pemain bahawa keyakinan serta percaya dengan keupayaan diri sendiri menjadikan watak mereka berbeza dan terserlah kesungguhan, keinginan dan keserasian antara pemain sehingga meledak 7 gol pada malam itu.

Tambah Tan Cheng Hoe, formasi yang ditetapkan juga bukan perkara pokok dalam falsafah bolasepak beliau, tetapi ianya hanya sebagai panduan untuk pasukan, juga sebagai panduan untuk beliau dan barisan kejurulatihan menganalisa material mengikut kesesuaian pemain yang mereka ada.  Tetapi   yang paling penting dalam formasi adalah bagaimana pemain tahu di manakah posisi yang sepatutnya mereka berada apabila bola dimainkan atau berada di pihak lawan.

Itulah yang diperlihatkan kepada peminat bolasepak tanahair bagaimana mereka begitu selesa bukan sahaja bertukar-tukar hantaran malah bertukar-tukar posisi dalam perlawanan tempoh hari.  Setiap inci ruang padang di isi oleh pemain kita agar rakan sepasukan mempunyai banyak pilihan untuk membuat hantaran.

Ada segelintir peminat mempertikaikan lawan kita yang kurang rankingnya dan tidak boleh dijadikan ukuran keupayaan pasukan negara, sedar atau tidak, hikmahnya kita ditemukan dengan lawan seperti Bhutan adalah, pemain dapat menyesuai dan mempraktikkan corak permainan dibawah kendalian Tan Cheng Hoe.  Falsafah setiap jurulatih pastinya berbeza, jadi pemain perlukan masa mencorakkannya, jadi Bhutan tentu saja lawan yang sesuai bagi pemain menjadikan tempat untuk mengujinya.

Sebenarnya ketika bertemu Mongolia tempoh hari kita sudah boleh melakukannya, tetapi dengan sikap acuh tak acuh pemain dan halatuju yang kurang jelas, hasilnya hanya seri yang mampu dijelmakan.  Sepatutnya barisan pemain yang ada ketika menentang Mongolia mudah saja melaksanakan tugasan yang diberikan oleh Tan Cheng Hoe.

Tan Cheng Hoe juga menambah bahawa beliau dan barisan kejurulatihan sudah nampak set pemain yang dikehendakinya cuma ada beberapa perubahan akan dibuat bergantung kepada persembahan dan kecederaan jika ada pada pemain.

Bila disoal tentang persembahan Zaquan Adha dan Nazmi Faiz yang nampak bertenaga pada malam itu, Tan Cheng Hoe memuji mereka berdua dengan Zaquan Adha bukan saja memberikan bimbingan pada pemain lain, tetapi beliau juga mahu sendiri membuktikan bahawa beliau masih relevan sebagai penyerang prolifik negara.  Hasilnya beliau meledak 4 gol ke gawang Bhutan.

Nazmi yang digelar ‘Budak Nakal’ ini pula walaupun jarang diturunkan ketika bersama kelabnya, namun beliau tidak mensesiakan peluang beraksi bersama pasukan kebangsaan dengan memberikan segala yang ada di atas padang.  Beliau begitu selesa mengawal tengah bersama Akram Mahinan dan Mahali Jasuli dan sambil beliau menjadi enjin kepada jentera pasukan negara, beliau juga membuat hantaran-hantaran terus yang mengelirukan ke arah Wan Zack Haikal dan Akhyar Rashid.

Terima Kasih Harimauku, kamu telah tunjukkan belangmu, walaupun pertikaian berkenaan tahap kekuatan pasukan Bhutan, jika mereka tidak serius masakan mereka meletakkan jurulatih asing bagi membentuk pasukan mereka.  Kuat atau tidak lawan kita , tetap kita perlu berusaha, kejayaan itu tidak datang dengan sendirinya.  Kita sendiri melihat bagaimana pemain Bhutan bersungguh-sungguh di atas padang menahan asakan pasukan negara.

Pedulikan kata-kata yang menidakkan kemenangan kamu pada malam itu, sekurang-kurangnya Harimau ini menang, bergembiralah, Harimau ini layak diiktiraf atas usahanya.   Bayangkan jika kita kalah, ianya lagi langsung tidak membantu.  Bukanlah perjuangan jika tanpa tohmahan-tohmahan bagi melemahkan semangat kita.  Anggap sajalah tohmahan itu kerana sayangnya mereka pada pasukan ini yang tahu harimau ini mampu beraksi lebih baik dari ini.

Yang penting bermainlah demi negara bukan demi seseorang.  Berusahalah untuk meningkat maju dan maju.  Jadikan ini satu titik tolak untuk kejayaan kita pada masa hadapan jika tersungkur jangan terus rebah, bangunlah semula dan terus melangkah, biar pun bertongkat, tetap berjuang dengan semangat.  Insyaallah kemenangan pasti dalam genggaman.

OLEH : HISYAM RAHMAN