Home / Bola Sepak / Harimau Malaya waspada ancaman Gajah Perang

Harimau Malaya waspada ancaman Gajah Perang

Semangat membara diterjemahkan oleh Harimau Malaya dalam perhitungan dengan Thailand dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2020 / Piala Asia 2023.

Tidak ada sedikit pun rasa gentar dalam kalangan barisan negara berdepan dengan lawan yang hadir dengan reputasi tinggi dikendali jurulatih Piala Dunia beserta pemain-pemain sensasi.

Pasukan negara kian positif menumbangkan skuad gajah perang dibantu sorakan padu penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Pertembungan kali ini dianggap tidak sama ketika kedua-dua pasukan bertemu Disember lalu yang memihak kepada pasukan negara menerusi penentuan jaringan di tempat lawan.

Justeru itu pasukan kebangsaan sedia menerapkan ramuan terbaik menyaingi skuad Thailand yang kini dilatih jurulatih berwibawa dari Jepun Akira Nishino .

“Sebagai jurulatih saya cuba untuk meningkatkan pasukan disemua posisi memandangkan banyak kritikan negatif diterima di kedudukan penjaga gol dan serangan. Jadi harapannya esok apabila berpeluang bermain dengan pasukan serta jurulatih yang baik, kami akan keluar dengan pendekatan yang sama bagus”, tegas Tan Cheng Hoe dengan penuh keyakinan.

Ancaman utama Harimau Malaya tidak lain tidak bukan adalah Akira Nishino sendiri yang baru dilantik empat bulan lalu mengendalikan Thailand.

Beliau membimbing Jepun semasa Piala Dunia tahun lalu yang menewaskan Colombia, seri dengan Senegal dan kalah tipis kepada Poland dan Belgium.

Kini pencapaian terbaik bersama Thailand yang masih belum tewas sepanjang tiga aksi kempen menyaksikan seri sekali selebihnya menang.

Rekod Thailand di Stadium Bukit Jalil tampak negatif apabila tidak pernah menang dalam tiga kunjungan semasa dengan seri 1-1 (2012) , tewas 2-3 (2014) dan seri 0-0 (2018) tetapi ia tidak mematahkan semangat musuh tradisi ini.

Pasukan negara berada dalam keadaan positif semasa dalam sesi latihan rasmi di Stadium Nasional tatkala Tan Cheng Hoe masih mencongak gandingan sesuai dan terbaik untuk menyaingi Thailand yang dibarisi pemain mantap di segenap posisi.

Ada bayangan perubahan mungkin berlaku di beberapa posisi mahupun mahupun formasi Harimau Malaya dengan mengambil kira prestasi semasa khususnya sewaktu menewaskan Tajikistan empat hari lalu.

Paling diberi keutamaan agar pemain negara perlu meningkatkan permainan dan keupayaan mengelak ditenggelamkan pihak lawan.