Home / Bola Sepak / Harimau Malaya takluki Stadium Utama Gelora Bung Karno

Harimau Malaya takluki Stadium Utama Gelora Bung Karno

Foto : Sportflex Malaysia

Kekacauan yang dicetuskan oleh penyokong Indonesia menenggelamkan kejayaan sensasi Harimau Malaya menewaskan Indonesia 3-2 dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Utama Gelora Bung Karno menjadi perhatian media negara itu.

Namun kekecohan yang berlaku menenggelamkan kehebatan skuad Tan Cheng Hoe yang bangkit selepas ketinggalan sebanyak dua kali dengan pemain gantian Mohamadou Sumareh tampil menjaringkan gol kemenangan minit-minit akhir permainan.

Jalan sukar ditempuhi pasukan kebangsaan ketika beraksi di hadapan penyokong lawan dalam saingan Kumpulan G apabila perasaan gementar dan gagal mengawal tekanan menyebabkan pasukan negara mengambil masa dan terpaksa menyesuaikan diri selepas sepak mula.

Kelonggaran itu membolehkan Indonesia mengambil kesempatan meloloskan diri mengatasi pertahanan untuk Alberto Goncalves meletakkan mereka di depan pada minit ke-12.

Seperti tuan rumah, Harimau Malaya membalas gerakan mereka menerusi Mohamadou Sumareh seminit selepas dimasukkan bagi menyamakan kedudukan pada minit ke-37.

Foto : Sporflex Malaysia

Indonesia sekali lagi di hadapan apabila kesilapan pemain pertahanan negara membuka ruang menembusi gawang yang dikawal Mohd Farizal Marlias untuk Goncalves kembali meletak pasukannya di depan kembali mengatasi Malaysia separuh masa pertama hanya dua minit selepas gol Sumareh.

Permainan Harimau Malaya tampak kemas di separuh masa kedua mengekalkan penguasaan bola bagi mencipta gerakan.

Asakan bertubi tubi Mohd Syafiq Ahmad minit ke-66 merungkai kembali perjuangan Harimau Malaya dengan mengikat kedudukan 2-2.

Walaupun permainan dihentikan pengadil dari Korea Selatan akibat dari pencerobohan penyokong Indonesia pada minit ke-75, barisan negara berjaya mengekalkan tumpuan sebaik permainan disambung.

Dari beberapa peluang yang terhidang akhirnya detik yang ditunggu-tunggu tiba di penghujung masa kecederaan lapan minit yang diberikan. Hantaran Matthew Davies berjaya menemui Sumareh yang hanya menolak masuk dari jarak dekat untuk gol pemisah kedua-dua pasukan.

Foto : Sporflex Malaysia

Kemenangan 3-2 memberikan tiga mata untuk Malaysia dalam kumpulan G yang turut disertai Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand. Ia juga cukup bererti dan istimewa apabila pasukan kebangsaan menamatkan badi tidak menewaskan Indonesia sejak 2004 di Stadium Utama Gelora Bung Karno.