Home / Bola Sepak / Harimau Malaya menang bergaya.

Harimau Malaya menang bergaya.


Oleh Hisyam Rahman

Skuad Harimau Malaya menamatkan badi 12 perlawanan tanpa kemenangan apabila berjaya menewaskan pasukan Bhutan 7-0 dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. Kemenangan malam tadi sudah pasti memberikan harapan bahawa bolasepak kita masih bertenaga jika pemain memberikan segala-galanya dalam perlawanan.

Bermula dengan gol pada minit ke 11 oleh Wan Zack Haikal, Zaquan Adha, Irfan Zakaria dan Syafiq Ahmad masing-masing mencetak gol untuk memberikan kemenangan besar 7-0 kepada Malaysia.

Percaturan jurulatih Tan Cheng Hoe menurunkan kesebelasan yang hampir sama ketika bertemu Lubnan tempoh hari dilihat berhasil apabila pemain berjaya mengekalkan rentak permainan bertenaga dan penuh bersemangat.

Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe

Mahali, Nazmi dan Akram menguasai perlawanan dengan kawalan kemas di bahagian tengah dengan bertukar-tukar dan melakukan hantaran dengan penuh yakin. Hasilnya seawal minit ke-2 lorongan kemas dari bahagian tengan buat Zaquan Adha melakukan percubaan, namun pertahanan Bhutan berjaya menghalangnya.

Serangan demi serangan dijana oleh pasukan negara dengan hantaran-hantaran dan lorongan-lorongan cantik membuatkan pasukan Bhutan banyak berkampung di kawasan sendiri.  Minit ke-11, ketua pasukan Zaquan Adha  membuat larian deras di bahagian kiri pintu gol Bhutan dan membuat hantaran tepat buat Wan Zack Haikal untuk gol pertama Malaysia.

Selang 7 minit, larian desas Wan Zack sekali lagi mengkucar kacir kan pertahanan Bhutan yang terpaksa membentes beliau di dalam kotak penalti untuk menghadiahkan sepakan penalti buat Malaysia. Zaquan Adha menyempurnakannya untuk menjadikan kedudukan 2-0.  Selepas itu giliran Irfan Zakaria pula meletakkan namanya sebagai penjaring pada minit ke-27 dengan tandukan dari sepakan sudut sebelum Zaquan Adha mencatat Hatrik dengan 2 lagi gol pada minit 37 dan 40, untuk menjadikan kedudukan 5-0.

Masuk separuh masa kedua, Malaysia terus mengasak kubu pertahanan Bhutan, pemain menunjukkan mereka adalah pasukan berbeza dengan menambah 2 lagi gol pada minit ke 55 oleh Zaquan danpemain gantian Syafiq Ahmad melengkapkan malam Malaysia dengan tandukan cantik pada minit ke 75 untuk menjadikan kedudukan Malaysia 7, Bhutan 0.