Home / Bola Sepak / Harimau Malaya masihkah ada sinar harapan ?

Harimau Malaya masihkah ada sinar harapan ?

Skuad Harimau Malaya dalam pertemuan menentang pasukan Mongolia di Stadium Nasional Bukit Jalil minggu lalu. Foto Mohd Noordin Shariff / SukanMalaysiaDotMy

Oleh : Hisyam Rahman

Harimau Malaya masih belum dianugerahkan nikmat kemenangan sejak kali terakhir mengecapi nya pada November 2016 ketika menewaskan Kemboja dalam saingan Piala AFF.  Ketika ranking pasukan berada di kedudukan terendah dalam sejarah bolasepak negara, kebuntuan demi kebuntuan menghantui pasukan negara di saat bergelut dengan prestasi serta pencapaian bukan sahaja di peringkat antarabangsa malah kelompok Asia Tenggara.

Perlawanan persahabatan kelas A pada Khamis lalu pasti mahu dilupakan oleh Tan Cheng Hoe apatah itu adalah ujian pertamanya mengemudi pasukan kebangsaan yang setiap inci prestasinya dibincangkan oleh setiap lapisan masyarakat negara.  Peminat mendambakan kejayaan pada perlawanan itu sebagai bukan sahaja membaiki ranking tetapi sebagai penawar untuk kita letakkan kembali keyakinan kepada sukan bolasepak negara.
Perlawanan menentang Mongolia ini sebenarnya amat penting untuk ranking, kita sepatutnya meletakkan perlawanan ini pada sasaran mesti menang, tetapi itu tidak berlaku.  Menurunkan hampir keseluruhan pemain dari pasukan yang sama memang tidak salah.  Memilih 9 pemain dari pasukan yang sama sepatutnya memberi kelebihan semulajadi pada pasukan negara ketika tempoh pengumpulan pemain adalah singkat.  Namun pemain-pemain JDT gagal menampakkan kelebihan itu.  Walaupun statistik menunjukkan penguasaan hampir 60% pasukan Harimau Malaya dalam perlawanan ini, tetapi jeneral yang gagah dibahagian tengah tidak muncul. Kedua-dua pemain tengah kita hanya bertindak sebagai enjin sahaja,  tiada yang mengarah, mengawal tempo, membuat hantaran yang membunuh dan menjadikan perlawanan milik kita.
Penjaga gol juga tidak membantu dalam menjadi ‘instructor’ dari posisinya yang dapat melihat ke arah keseluruhan pasukan.  Haziq memang cemerlang di kejohanan AFC bawah 23 yang lalu, namun dengan masa permainan di liga super yang sedikit, tidak memberi kelebihan pada pasukan yang perlukan seseorang yang cukup matang dengan ‘match fitness’ dan pengalaman mengarahkan pasukan.
Fadhli Shas juga tidak memberi impak, beliau nampak begitu perlahan dengan tindakbalas yang lambat dan tidak membaca perlawanan dengan baik.  Mujur sokongan rakan disebelah Adam Nor Azlin mengimbangi kekurangan beliau.  Seperti kata jurulatih Mongolia, kita memang tidak mempunyai penyerang tulen, penyerang kita hanya berlari mengikut arah hantaran dan lintangan bola tanpa mencetus impak sendiri yang menggerunkan lawan.  Hanya selepas kemasukan Akhyar, keadaan itu berlaku tetapi Akhyar seorang tidak mampu mengubah keputusan perlawanan.
Gol-gol pasukan Mongolia bolehlah dikatakan hadiah dari pasukan negara kepada Mongolia dengan gol pertama hasil kealpaan pertahanan dan gol kedua bagaimana susunan benteng yang tidak ampuh ditambah pula agakan penjaga gol kita yang tidak tepat dan cepat.
Dari segi pemilihan pemain Tan Cheng Hoe telah mengambil pendekatan jelas bahawa ia mahukan kemenangan dengan meletakkan 9 dari 11 pemain dari pasukan JDT namun percaturan itu gagal memberi impak walaupun dua kali kita mendahului pasukan lawan tetapi kita menganugerahkan mereka dua gol yang satunya agak mudah untuk Mongolia menidakkan kita kemenangan pertama sejak lebih setahun yang lalu.
Secara keseluruhannya Harimau Malaya tidaklah bermain dengan teruk kerana kita juga perlu memberikan kredit kepada pasukan Mongolia yang bermain dengan strategi yang betul dengan memberikan tekanan dan kawalan ketat serta larian-larian deras yang mengucar-ngacirkan tempo permainan pasukan kita.
Harimau Malaya adakalanya kelihatan sukar untuk menyaingi fizikal pemain Mongolia  dan pemain kita agak berhati-hati seperti mahu mengelakkan kecederaan dan tidak mengerah keseluruhan tenaga untuk perlawanan ini.  Dalam progress perlawanan, pemain kita juga tidak ghairah mencari gol apabila mendahului pasukan lawan untuk membunuh kebangkitan lawan kerana setelah mendahului kita hanya bermain dengan sekadar menunggu dan memerhati reaksi pasukan lawan.  Atas keadaan itu mereka sebenarnya membenarkan Mongolia mengasak dan dari situlah kita terdedah kepada kesilapan dan kealpaan lalu memberikan pasukan lawan gol penyamaan sebanyak dua kali.
Lubnan akan menanti kita diperlawanan seterusnya, dengan 14 pemain tidak ke Beirut, bagaimanakah Tan Cheng Hoe mencaturkan strategi untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata di sana.  Dengan 9 pemain baru yang masuk, diharap mereka menanamkan azam dan semangat yang kental bahawa yang mereka perjuangkan nanti adalah negara tercinta kita Malaysia.  Faktor yang mungkin pudar untuk pemain dalam pasukan menentang Mongolia tempoh hari.
Tanah tumpahnya darahku yang menjadi kata-kata semangat perlu disimpan didalam benak fikiran pemain bahawa yang mereka junjung dan wakili ini adalah tanah tumpahnya darah mereka juga. Jadilah penyambung warisan kegemilangan bolasepak negara yang gah suatu ketika dulu.